OPS Terminal yang dijalankan agensi AADK.
OPS Terminal yang dijalankan agensi AADK.
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Fakta mengejutkan apabila setiap seorang daripada 10 penunggang motosikal yang diarah menjalani ujian air kencing didapati positif menagih dadah.

Itu kesimpulan dibuat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) hasil statistik diperolehi sepanjang operasi ‘Ops Khas Motosikal’ dijalankan baru-baru ini.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Zainudin Abdullah berkata, operasi berkenaan diadakan secara menyeluruh di beberapa lokasi ‘panas’ di seluruh negara.

Beliau berkata, operasi dilakukan pada 2 Februari itu menyaksikan seramai 549 penunggang motosikal disaring dan 63 daripadanya didapati positif dadah jenis heroin (11), ganja (4), Amphetamine (1), Methaphetamine (43) dan kethamine (3).

“Bagi operasi dijalankan pada 6 Februari pula, seramai 488 penunggang motosikal disaring dan 9.8 peratus daripadanya disahkan positif pelbagai dadah iaitu ganja (9), Amphetamine (4) dan Methaphetamine (29).

“Manakala seramai 342 penunggang motosikal disaring ketika operasi pada 12 Februari lalu. Keputusan mendapati 45 individu didapati positif dadah membabitkan ganja (13) dan Methaphetamine (32).

“Operasi terakhir pada 16 Februari pula mendapati 49 daripada 440 penunggang motosikal positif dadah jenis heroin (4), ganja (13), Amphetamine (3) dan Methaphetamine (29),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, statistik dikeluarkan pihaknya menunjukkan nisbah penunggang yang positif dadah adalah 1 per 10.

“Kami dapati dadah Methaphetamine adalah dadah paling popular di kalangan penunggang motosikal apabila seramai 133 daripada 202 individu ditahan disahkan positif dadah jenis itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut menjalankan operasi Ops Terminal di 24 terminal bas utama di seluruh Malaysia bagi mengesan pemandu bas ‘lalok’.

“Operasi dijalankan bersama agensi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Hasilnya enam daripada 3,375 pemandu bas disaring didapati positif dadah heroin (2), ganja (2) dan Methaphetamine (2).

“Semua yang disahkan positif dadah akan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:07 AM