ANTARA motosikal yang disita dalam operasi itu. FOTO Aziah Azmee
ANTARA motosikal yang disita dalam operasi itu. FOTO Aziah Azmee
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 14 motosikal disita dalam Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri Siri 1 dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Plaza Tol PJS2, Petaling Jaya, hari ini.

Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) itu bermula kira-kira 6 petang tadi.

Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib berkata, sehingga 10 malam tadi, 1,018 motosikal diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 14 motosikal disita selepas didapati cukai jalan kenderaan mereka tamat tempoh lebih setahun. Kami turut mengeluarkan 348 saman selain 20 kes yang diserahkan kepada pihak PDRM atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini.

“Kesalahan paling banyak dikesan dilakukan penunggang motosikal yang kebanyakan terdiri daripada warga asing adalah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Selain itu, pihak AADK turut melakukan pemeriksaan terhadap 13 penunggang motosikal dan empat daripada mereka didapati positif dadah jenis methaphetamin,” katanya pada sidang media di lokasi operasi di Plaza Tol PJS2, hari ini.

Nazli berkata, sejak Operasi Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mei lalu, 3,187 kenderaan diperiksa di seluruh negeri ini.

“Sepanjang tempoh itu, 177 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, langgar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit dan menggunakan laluan kecemasan.

“Selain itu, 71 bas diperiksa di empat depoh sekitar Selangor bagi tempoh 23 hingga 28 Mei lalu sebelum kenderaan terbabit dibenarkan untuk beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan operasi penyamaran bas di terminal bas sekitar negeri ini dengan menaiki 23 bas ke pelbagai destinasi di Semenanjung.

“Sebanyak 13 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi penyamaran ini. Antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu bas adalah memandu di lorong kanan berterusan, menggunakan telefon bimbit, menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan dan melanggar lampu isyarat.

“Malah, kami berjaya mengesan seorang pemandu bas berusia 40 tahun yang didapati positif dadah jenis methaphetamin ketika pemeriksaan dilakukan di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, kelmarin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 11:47 PM