Antara pengunjung pusat hiburan yang ditahan dalam pemeriksaan Ops Club Rats di Seremban 2 pagi semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara pengunjung pusat hiburan yang ditahan dalam pemeriksaan Ops Club Rats di Seremban 2 pagi semalam. Foto Ihsan PDRM
Hasbi Sidek

SEBAHAGIAN pengunjung sebuah pusat hiburan di Seremban 2 dikesan berhibur dalam keadaan lalok ketika Ops Club Rats pada pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira 2 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menahan 37 individu kerana disyaki positif dadah dan memiliki bahan terlarang itu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, kesemua mereka terdiri daripada 35 warga tempatan dan dua warga Indonesia.

“Seramai tiga lelaki tempatan disyaki memiliki dadah, 23 lelaki dan sembilan wanita tempatan serta dua wanita warga Indonesia pula didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing.

“Kesemua mereka itu berusia antara 18 hingga 32 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban hari ini.

Menurutnya, pengunjung pusat hiburan berkenaan didapati positif dadah methaphetamine, ketamin dan amphetamine, malah enam daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah termasuk membabitkan dadah sebelum ini.

Katanya, ketika pemeriksaan di pusat hiburan terbabit menemui sebatang rokok mengandungi ketamin dengan berat dianggarkan 0.6 gram, satu paket ketamin dengan anggaran berat 0.5 gram dan sebiji pil ekstasi anggaran berat 0.03 gram.

Sementara itu, Che Zakaria berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jempol turut melancarkan operasi di kawasan FELDA Palong 2, Gemas dan berjaya menahan seorang penjawat awam berusia 29 tahun kerana disyaki memiliki ketum pada kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemui cecair dipercayai air ketum 7.5 liter dan daun ketum seberat 2.5 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM100.

“Pada 20 Disember lalu, BSJND Kuala Pilah pula menahan sebuah kereta Audi Q5 dan melakukan pemeriksaan terhadap tiga lelaki sebelum menemui dadah dipercayai jenis heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM22,000 di kawasan Ulu Bendul.

“Kesemua mereka itu yang berusia 28 hingga 48 tahun ditahan bersama heroin seberat 202.2 gram dan syabu seberat 78 gram, seorang daripada mereka juga didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing.

“Polis juga menyita wang tunai milik suspek berjumlah RM961 dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 7:17 PM