ABD Halim (kiri) memeriksa individu yang ditahan sambil diperhatikan Nadzri (dua dari kiri) dalam Op Perdana di Kuala Lumpur. FOTO Ezairi Shamsudin
ABD Halim (kiri) memeriksa individu yang ditahan sambil diperhatikan Nadzri (dua dari kiri) dalam Op Perdana di Kuala Lumpur. FOTO Ezairi Shamsudin
Mohd Hasbi Sidek


SERAMAI 97 individu ditahan termasuk 13 wanita selepas didapati positif pelbagai jenis dadah dalam Operasi Perdana (Op Perdana) di beberapa lokasi sekitar ibu kota.

Serbuan dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur bermula 6 petang semalam hingga 6 pagi hari ini.

Dalam operasi di kawasan penempatan, projek perumahan rakyat (PPR), hotel bajet dan pusat hiburan itu, seramai 193 individu diperiksa sebelum menjalani saringan ujian air kencing.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, daripada jumlah itu, seramai 97 individu ditahan terdiri 84 lelaki dan 13 wanita berusia antara 16 hingga 56 tahun.

“Semua yang ditahan didapati positif pelbagai jenis dadah termasuk methaphetamine, amphethamine, heroin dan ganja.

“AADK turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu pil Eramin 5, methaphetamine, ekstasi dan pil kuda dalam serbuan itu,” katanya yang mengetuai serbuan di Chow Kit dan Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur.

Turut serta dalam operasi ialah Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Nadzri Siron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:13 AM