ORANG ramai menunggu lebih dua jam selepas beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ditangguhkan akibat jerebu.
ORANG ramai menunggu lebih dua jam selepas beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ditangguhkan akibat jerebu.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Keputusan menutup sekolah berikutan jerebu pada ketika ini boleh dibuat sekiranya jarak penglihatan di bawah 500 meter (m) biarpun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) belum mencapai 200.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kementerian Pendidikan memberi kuasa itu kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) serta-merta berhubung keputusan penutupan sekolah akibat jerebu.

Menurutnya, penutupan itu tidak hanya bergantung kepada bacaan IPU semata-mata, malah jarak penglihatan turut diambil kira.

“Ini dibuat kerana kita mengambil kira faktor kesihatan dan penglihatan pelajar yang terbabit dengan keadaan jerebu ini.

“Kami memberikan kuasa kepada PPD untuk membuat keputusan kerana mereka lebih mengetahui keadaan sekolah di daerah masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengemas kini bacaan IPU serta jarak penglihatan dengan memaklumkannya kepada Kementerian Pendidikan setiap jam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM