Kuala Terengganu: Seorang lelaki cedera di bahu kanan selepas terkena dua das tembakan dalam kejadian di Jalan Hiliran di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 9.15 malam ketika mangsa berusia 28 tahun dan sudah berkahwin mahu mengambil kad televisyen berbayar dalam pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya.

Bagaimanapun, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Chendering di sini, dipercayai terserempak dengan dua lelaki tidak dikenali berhampiran kenderaannya sebelum berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan suspek menembaknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa bersama keluarganya sebelum itu menikmati makan malam sebelum bapa mangsa memintanya mengambil kad berkenaan.

Menurutnya, ketika mahu pergi ke arah kenderaannya terletak kira-kira 50 meter dari kedainya, mangsa dipercayai terserempak dengan dua suspek yang kemungkinan mahu mencuri kenderaan berkenaan.

Katanya, dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum ibu bapa mangsa yang terkejut mendengar bunyi tembakan bergegas keluar dan mendapati mangsa terbaring di depan kedai sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Dua suspek itu dipercayai melarikan diri menaiki Toyota Wish putih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:19 AM