ANGGOTA polis memeriksa Proton Wira milik mekanik yang ditemui semula selepas dilarikan suspek.
ANGGOTA polis memeriksa Proton Wira milik mekanik yang ditemui semula selepas dilarikan suspek.
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang lelaki warga Singapura ditahan selepas disyaki melarikan kereta milik seorang mekanik yang membantu menukar tayar kenderaannya yang rosak di Lebuhraya Kuantan berhampiran Taman Yayasan, di sini.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 25 minit selepas kejadian itu jam 4 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu memandu Toyota Wish dan dalam perjalanan pulang ke Singapura dari sebuah pusat peranginan tanah tinggi di Pahang.

Beliau berkata, suspek melalui laluan lebuh raya itu sebelum tayar kenderaannya pancit apabila tiba di Taman Yayasan, di sini.

“Tayar belakang kenderaan suspek bocor sebelum dia berjalan kaki kira-kira 150 meter ke sebuah kedai tayar berhampiran bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, seorang mekanik lelaki berusia 45 tahun di kedai tayar kemudian sedia membantunya serta membawa suspek menaiki kereta Proton Wira miliknya ke lokasi kejadian.

Katanya, suspek tiba-tiba membawa lari kereta mekanik terbabit ketika mangsa sibuk menukar tayar kenderaannya.

“Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat yang menjalankan rondaan berhampiran kawasan itu sempat melihat mangsa berlari mengejar keretanya.

“Usaha mengesan Proton Wira itu kemudian digerakkan dengan bantuan sebuah lagi kereta peronda polis,” katanya.

Menurutnya, kereta dilarikan suspek itu kemudian dikesan berhenti di hadapan sebuah bank berhampiran Jalan Genuang, di sini.

Mohd Kamil berkata, suspek kemudian ditahan dan direman 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Katanya, suspek juga didapati positif mengambil dadah hasil ujian saringan awal air kencing.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Wish digunakan suspek adalah milik rakannya di Singapura dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar suspek melarikan kereta milik mekanik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 7:08 AM