GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Montreal: Polis Kanada pada Khamis menembak mati seorang lelaki bersenjatakan raifal, lapor media tempatan, susulan insiden tembakan dan pembunuhan kanak-kanak serta guru di Texas, sehingga beberapa sekolah terpaksa ditutup dua hari.

Orang ramai memaklumkan kepada polis mengenai kehadiran lelaki itu di kawasan kejiranan timur Toronto, namun apa yang berlaku seterusnya tidak jelas.

Namun, Ketua Polis, James Ramer memberitahu wartawan bahawa suspek adalah lelaki lewat remaja atau awal 20-an, disahkan sudah meninggal dunia ketika pemeriksaan dilakukan.

Beliau bagaimanapun, tidak mengulas lanjut.

Akaun Twitter pasukan polis berkata, selepas pegawai mengesan lelaki itu, pihak polis melepaskan tembakan.

Jurucakap Unit Siasatan Khas memberitahu CBC bahawa bukti awal menunjukkan dua pegawai polis melepaskan tembakan, dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tidak jelas sama ada lelaki itu memegang senjata ketika polis menembaknya.

Ramer berkata, dia tidak dapat memberikan butiran lanjut kerana kejadian itu masih dalam siasatan.

"Tiada ancaman kepada keselamatan awam," katanya.

"Disebabkan (insiden) berlaku berhampiran sekolah, saya memahami trauma terhadap kakitangan, pelajar dan ibu bapa, susulan peristiwa yang berlaku di Amerika Syarikat sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 10:45 AM