MAHMUD (dua dari kanan) selepas melancarkan projek perumahan Residensi Advena di Seksyen 16.
MAHMUD (dua dari kanan) selepas melancarkan projek perumahan Residensi Advena di Seksyen 16.

Shah Alam: Lebih 75 peratus daripada 232 unit rumah Residensi Advena di Seksyen 16 di sini, yang dimajukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya dijual pada hari pertama pelancarannya pada Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, sambutan yang menggalakkan daripada pembeli dipercayai berikutan harganya yang berpatutan bermula dari RM388,000 hingga RM398,000 sahaja untuk sebuah pangsapuri yang terletak di kawasan strategik di tengah bandar raya Shah Alam.

Katanya, Residensi Advena yang berkeluasan 941 kaki persegi mempunyai dua blok iaitu sebuah bangunan 14 tingkat dan sebuah lagi 20 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah lebih RM91 juta yang dijadualkan siap pada akhir tahun hadapan.

"PKNS komited dalam menyediakan perumahan mampu milik sesuai untuk semua golongan dan untuk projek rumah ini, kami mengambil untung sedikit sahaja kerana ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat PKNS untuk rakyat Selangor," katanya kepada media di sini, kelmarin.

Mahmud berkata, dengan sambutan positif yang diterima, pihaknya yakin kesemua unit Residensi Advena mampu terjual dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang.

Katanya, setiap unit projek itu dibina dengan rekaan moden meliputi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta lengkap dengan kemudahan fasiliti antaranya kolam renang, gimnasium, tempat letak kenderaan bertingkat, dewan serbaguna, surau, kios kedai, pejabat pengurusan dan bilik bacaan.

Mahmud berkata, perbadanan turut menawarkan pakej menarik antaranya yuran guaman serta duti setem percuma dan bagi memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan pinjaman, program pelancaran sepanjang dua hari di Kompleks PKNS Shah Alam itu turut disertai oleh sembilan panel institusi perbankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 7:01 AM