PENGUNJUNG melihat replika rumah pada Majis Perasmian Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi. FOTO Luqman Hakim Zubir
PENGUNJUNG melihat replika rumah pada Majis Perasmian Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Suhaila Shahrul Annuar


PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan projek pembinaan rumah mampu milik, Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi di Cyberjaya yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2021.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, projek yang dibangunkan di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley (SCV), Cyberjaya itu membabitkan pembinaan 864 unit rumah termasuk empat unit untuk orang kurang upaya (OKU).

Katanya, rumah mampu milik yang dijenamakan sebagai Rumah Selangorku Idaman PKNS itu dijual pada harga RM232,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

“Bercirikan gabungan seni bina unik dan moden, Selangorku Idaman Residensi dibina di atas tanah berkeluasan 5.764 hektar yang mana setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air selain dua parkir kereta bagi setiap unit.

“Hari ini, PKNS sekali lagi membuktikan komitmen untuk mambantu rakyat Selangor memiliki kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.

“Ini adalah bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami yang mana dasar ini adalah cerminan kepada sebuah kerajaan yang berusaha ke arah mengurangkan jurang pendapatan di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi di Cyberjaya, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, Selangorku Idaman Residensi terletak di pembangunan bandar pintar yang berdekatan dengan lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), ELITE dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

“Jarak perjalanan dari rumah ini ke Putrajaya adalah 17 kilometer (km) dan 29 km ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain berdekatan dengan pelbagai kemudahan seperti pusat beli belah, selain institusi pendidikan.

“Pangsapuri berkenaan dibina dengan dua blok iaitu Blok A dan Blok B masing-masing membabitkan 14 tingkat dan 15 tingkat. Pembinaannya, dijangka siap pada Disember tahun depan, manakala jangkaan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) akan diperolehi pada pertengahan 2021,” katanya.

Norita berkata, kelebihan projek ini adalah ia turut dilengkapi dengan ruang pejabat pengurusan, surau, dewan serbaguna, tiga unit ruang kedai, bilik pengurusan jenazah, taman permainan, ruang tadika, lif dan empat tingkat tempat letak kereta bertingkat.

“Pendaftaran Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi ini dibuka bermula hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 2:11 PM