Jemaah menunaikan solat di Masjid Nabawi. FOTO Noor Azam Abdul Aziz
Jemaah menunaikan solat di Masjid Nabawi. FOTO Noor Azam Abdul Aziz
Suasana pagi selepas solat subuh di Masjid Nabawi. FOTO Noor Azam Abd Aziz
Suasana pagi selepas solat subuh di Masjid Nabawi. FOTO Noor Azam Abd Aziz

Pengarang Berita Harian Metro (HM) Noor Azam Abd Aziz kini di Madinah sebelum ke Makkah melaksanakan tugas memberi perkembangan mengenai jemaah haji untuk pembaca HM sepanjang musim haji tahun ini, selain mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Noor Azam antara 22 petugas media yang mengikuti kumpulan ketiga petugas haji terdiri daripada pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai persediaan menyambut kehadiran jemaah pertama dijangka tiba 16 Ogos ini.

Untuk pembaca HM, Noor Azam mengirimkan gambar suasana di Masjid Nabawi ketika waktu Subuh tadi selain video suasana selepas Solat Jumaat di masjid itu, semalam.

Pada tahun ini, seramai 22,320 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci Makkah dan penerbangan pertama dijadualkan pada 16 Ogos ini.

Jumlah berkenaan berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah kuota yang diberikan sebelum ini iaitu 27,900 jemaah.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pengurangan sebanyak 20 peratus itu dikenakan kerajaan Arab Saudi kepada negara sejak tiga tahun lalu berikutan kerja pembangunan di Masjidil Haram yang masih belum selesai.

Tabung Haji (TH) juga masih menunggu untuk mendapatkan kuota tambahan bagi membolehkan orang ramai yang berada dalam senarai menunggu dapat menunaikan haji pada tahun ini.

Sebagai persediaan buat semua jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci beberapa perkara berkenaan perlu diberikan perhatian ketika melaporkan diri di lapangan terbang atau Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor.

Antara aturan yang perlu diikuti ialah:

1. Jemaah haji hendaklah melaporkan diri mengikut waktu dan tempat yang ditentukan.

2. Jemaah haji dari kawasan yang jauh dan tiba awal di Kompleks Tabung Haji melebihi enam jam daripada waktu melaporkan diri boleh memohon menginap di asrama.

3. Menunggu di tempat yang disediakan sebelum urusan pendaftaran masuk diumumkan. Keluarga masih boleh bertemu.

4. Pastikan barangan tajam, barangan logam, gel, aerosol atau cecair yang melebihi 100 ml/gram diletakkan dalam bagasi besar untuk pendaftaran masuk, bukan di dalam beg sandang atau beg bimbit.

5. Terima barang hadiah dari TH jika ada.

6. Terima pelekat perumahan Madinah dan Makkah.

7. Membawa semua bagasi dan beratur di tempat bermulanya urusan pendaftaran masuk apabila diumumkan.

8. Masuk semua bagasi besar ke mesin X-ray.

9. Menerima pasport dan pas menaiki pesawat.

10. Serah bagasi untuk ditimbang dan ambil keratan penerimaan bagasi. Ia amat berguna untuk tuntutan jika barangan hilang.

11. Ketika pemeriksaan badan, jika di dalam beg tangan masih ada barang tajam yang membahayakan atau cecair yang melebihi had ia akan diambil oleh pegawai keselamatan kapal terbang.

12. Masuk dewan berlepas. Tulis nama di beg sandang dan beg bimbit masing-masing dan lekatkan sekeping gambar kerana dikhuatiri bertukar sesama jemaah.

13. Mendengar taklimat akhir, jemaah perlu ambil perhatian kerana ada maklumat terkini yang penting.

14. Jemaah haji yang melaporkan diri di Kompleks TH akan dibawa ke lapangan terbang dengan menaiki bas.

15. Menaiki pesawat mengikut warna pas pelepasan dan nombor tempat duduk.

16. Beg sandang sentiasa digalas sepanjang perjalanan.

17. Ubat yang perlu diambil dalam tempoh perjalanan hendaklah disimpan di dalam beg sandang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 1:20 PM