Kajang: Seramai 285 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap di seluruh Selangor ditahan polis sejak Op Warta dilaksanakan bermula 19 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, semua tangkapan dibuat melalui sekatan jalan raya dan ‘lawatan’ mengejut ke premis perniagaan.

“Daripada jumlah itu, 13 pesalah trafik dikenakan hukuman penjara selepas mereka gagal melunaskan tunggakan saman.

“Selain itu, 93 pesalah dikenakan denda manakala 44 individu lagi diberi jaminan mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program polis komuniti di Pasar Kajang di sini, semalam.

Hadir sama dalam program bermula jam 7.45 pagi itu ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab dan Timbalannya Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji.

Menurutnya, pihak polis memandang serius tindakan ramai pesalah trafik yang mengabaikan tanggungjawab mereka menyelesaikan tunggakan saman mereka.

“Semua tangkapan dibuat iaitu, lapan di Petaling Jaya, Klang Selatan (35), Klang Utara (39), Shah Alam (45), Kajang (9), Gombak (6), Kuala Langat (12), Sabak Bernam (17), Kuala Selangor (63), Hulu Selangor (12), Ampang Jaya (8), Sungai Buloh (13), Sepang (1), Serdang (9) dan Subang Jaya (8),” katanya.

“Dalam tempoh itu juga, 1,026 pesalah tampil secara sukarela menjelaskan saman dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata, ramai pesalah trafik masih belum menjelaskan saman boleh menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.

“Pihak polis menyeru orang ramai supaya membuat semakan status saman masing-masing.

“Polis sudah memberikan tempoh mencukupi kepada orang ramai supaya segera menjelaskan saman tertunggak, waran tangkap dan kes trafik yang mereka ada,” katanya.

Terdahulu, Abdul Samah meluangkan masa menaiki komuter dari stesen Serdang ke Kajang di sini, bagi bertemu orang awam.

“Ini salah satu program polis bertemu masyarakat untuk mendapatkan maklum balas supaya mereka merasa selesa dan selamat.

“Hasil temubual yang dijalankan, rata-rata orang ramai ditemui memaklumkan mereka sering dikunjungi anggota polis termasuk anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan MPV,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 8:52 AM