Kuala Lumpur: Pintu peluang sudah berakhir apabila Polis Trafik Kuala Lumpur memulakan operasi memburu 9,000 pesalah trafik yang memiliki waran tangkap sekitar Lembah Klang bermula jam 8 pagi ini.

Polis trafik sebelum ini sudah memberi peluang secukupnya kepada pesalah trafik menjelaskan kompaun dan waran tangkap masing-masing mulai Sabtu hingga semalam.

Pegawai Turus Kompaun Cawangan Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Muhd Azhari Chik berkata, orang ramai didapati masih hadir di kaunter bayaran saman Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Bandar di sini, semalam, untuk menjelaskan saman tertunggak dan waran tangkap.

Menurutnya, jumlah itu tidak menggambarkan bilangan sebenar pesalah trafik yang masih gagal menyelesaikan waran tangkap dan kompaun tertunggak masing-masing.

“Oleh itu operasi Waran Tangkap Trafik (Ops Warta) dimulakan hari ini dengan memberi fokus di pejabat dan premis perniagaan.

“Sebanyak lima kumpulan pegawai dan anggota akan bergerak dari Balai Polis Trafik Jalan Bandar menuju ke lokasi sasaran. Mereka yang mempunyai waran tangkap dan saman tertunggak akan ditahan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini semua kaunter bayaran saman di balai polis trafik seluruh negara dibuka pada hari Sabtu dan Ahad lalu untuk kemudahan orang ramai.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, orang ramai tidak boleh memberikan alasan tidak sempat menjelaskan saman tertunggak mereka berikutan pasukan polis trafik sudah memberi masa secukupnya.

Dalam tempoh 1 hingga 15 Mei lalu, sebanyak 33,473 waran tangkap dan 217,048 kompaun juga sudah dijelaskan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 7:53 AM