Oleh Rosyahaida Abdullah dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Pengukuhan elemen keusahawanan, holistik dan seimbang dalam diri setiap pelajar pengajian tinggi berupaya menjamin penghasilan graduan lebih berkualiti dan mampu menjiwai ilmu, bukan sekadar mengejar segulung ijazah.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, tanpa penghayatan terhadap ilmu yang dipelajari, begitu mudah pelajar mengabaikan kepentingan aspek lain sedangkan itulah yang menyokong mereka untuk berdepan cabaran alam kerjaya kelak.

Beliau juga memberi contoh masalah pendidikan tanpa penjiwaan seperti mana disuarakan seorang Profesor dari Harvard University, Amerika Syarikat, menerusi bukunya yang membuktikan isu berkenaan juga wujud di negara barat.

“Oleh sebab itu, penetapan Graduan Keusahawanan, Holistik dan Seimbang sebagai Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 atau PPPM (PT) pada saya adalah langkah tepat kerana ia mampu menyegerakan penghasilan graduan berkualiti dalam segala segi selain akademik,” katanya.

Dr Musa menyifatkan lonjakan pertama pelan itu selaras integrasi naqli dan aqli yang menjadi asas kepada program pelajar dan akademik USIM sejak sekian lama di mana ia memudahkan elemen berkenaan dibentuk di universitinya.

Namun bagi universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai ramai pelajar bukan Islam, aspek etika dan kerohanian mengikut pegangan agama masing-masing boleh diberi penekanan untuk memastikan ciri holistik dan seimbang dapat diterapkan.

Manakala bagi ciri keusahawanan pula, pihak universiti melihat kepada aspek sukatan akademik dan kokurikulum yang membina daya mereka supaya mampu menjadi pencipta pekerjaan selain pencari pekerjaan.

“Selepas tamat pengajian di universiti dulu, saya ada lima pilihan pekerjaan kerana ketika itu hanya beberapa orang dalam kampung itu memiliki ijazah,” katanya.

Menurut Dr Musa lagi, sejak 2011 lagi graduan USIM menerima dua transkrip apabila mereka tamat pengajian meliputi transkrip akademik dan transkrip kokurikulum.

Justeru, pihaknya bersedia untuk melaksanakan segala lonjakan yang digariskan dalam pelan berkenaan termasuk Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) bersepadu sebagaimana yang direncana oleh Kementerian Pendidikan.

Mengulas mengenai pelaksanaan PPPM (PT) secara keseluruhan, Dr Musa berkata, hasilnya mampu memberi impak yang lebih baik melalui pelaksanaan serentak oleh semua IPT di negara ini.

“Saya begitu yakin dengan PPPM (PT) kerana ia ada asas PSPTN (Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional).

“Jika dilaksana seperti dirancang, tiada halangan untuk Malaysia menjadi hab pendidikan malah mungkin lebih tinggi daripada itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:43 AM