MOHD Saufi Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan Diploma Eksekutif Perhubungan Media dan Komunikasi kepada rakan-rakan beliau di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
MOHD Saufi Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan Diploma Eksekutif Perhubungan Media dan Komunikasi kepada rakan-rakan beliau di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Oleh Rosyahaida Abdullah


Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pendidikan Tinggi/PT) 2015-2025 dijangka mampu memperkukuh keberkesanan transformasi pendidikan negara bagi melahirkan bakat cemerlang akademik dan sahsiah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Meneruskan kesinambungan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan pada 2007, PPPM (PT) kini lebih bersifat pemacuan hasil (outcome-driven) berbanding pemacuan proses (process-driven).

Perunding PPPM (PT) Sektor Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Profesor Dato’ Ir Dr Mohd Saleh Jaafar berkata, keperluan PPPM (PT) selaras pelancaran PPPM dua tahun lalu yang dilaksanakan di peringkat prasekolah hingga lepas menengah.

Menurut beliau, enam aspirasi murid serta lima aspirasi sistem PPPM dijajarkan ke dalam PPPM (PT) bagi memastikan konsistensi matlamat untuk direalisasikan menjelang 10 tahun akan datang.

“Hasil penambahbaikan PSPTN, maka terbentuklah pelan ini. Ia lebih holistik, bukan semata-mata transformasi untuk 1.2 juta (anggaran) penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

“Sektor pendidikan tinggi juga harus bersedia dengan pendidikan berbeza pada masa kini di mana generasi sekarang lebih ke depan dalam Internet dan teknologi jadi penstrukturan PPPM (PT) perlulah menepati keperluan itu,”katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Saleh berkata, KPM tidak mahu usaha yang dimulakan di peringkat prasekolah menerusi PPPM terhenti setakat lepas menengah saja.

“Oleh itu, peranan PPPM (PT) akan memastikan setiap modal insan yang berjaya diasuh bersandarkan PPPM ditambahkan kecemerlangannya di peringkat pendidikan tinggi pula.

“Pelan ini juga seiring hasrat KPM untuk memberi lebih autonomi kepada IPT dalam menentukan kaedah terbaik mengecapi objektif yang ditentukan dalam PPPM (PT) mengikut inovasi dan kreativiti masing-masing,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pengurusan Program PSPTN KPM Prof Madya Dr Norhayati Mohamed berkata, ketika ini pihak KPM sedang menjalankan sesi pendengaran awam bagi mendapatkan maklum balas awam berhubung penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara.

Jelasnya, proses mengemas kini kandungan pelan dianggar sudah mencapai 90 peratus membabitkan hampir 6,000 maklum balas sebelum diperinci dan dimuatkan dalam PPPM (PT) yang bakal dilancarkan pada bulan depan.

“Maklum balas masih dikumpul daripada semua pihak baik ahli akademik, lembaga pengarah IPT, badan bukan kerajaan, ibu bapa, malah pelajar bagi diambil kira dalam penyediaan pelan.

“Pada 9 Disember lalu, kita juga melancarkan saluran di laman web rasmi KPM bagi membolehkan sesiapa saja mengemukakan pandangan serta saranan mengenai sebarang penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya.

Terdapat 10 lonjakan yang ditetapkan dalam PPPM (PT) antaranya Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang (lonjakan utama) dan Ekosistem Inovasi (lonjakan pembolehupaya).

“Jika dalam PSPTN, kita tetapkan Mempergiatkan Pengantarabangsaan sebagai satu daripada lonjakan, kini lonjakan itu ditambahbaik dan lebih ‘outcome-driven’ dikenali sebagai Kesohoran Global,” kata Dr Norhayati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:32 AM