ANTARA tujuh tertuduh dibawa ke  mahkamah, semalam untuk dikenakan pertuduhan.
ANTARA tujuh tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam untuk dikenakan pertuduhan.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Klang: Suasana Mahkamah Majistret di sini, semalam sesak bukan saja di pekarangan mahkamah itu, tetapi juga di dalamnya apabila pertuduhan dibuat terhadap tujuh lelaki berhubung kes kematian seorang pengawal keselamatan yang ditetak sebelum mayatnya ditemui dibakar.

Sepanjang proses pendakwaan, tempat duduk di dalam mahkamah penuh sehingga ada ahli keluarga tertuduh berdiri.

Sebelum itu semua tertuduh yang berusia antara 22 dan 33 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan di pondok pengawal di Bandar Bukit Raja, Klang 18 April lalu.

Semua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mariam Maran Abdullah @ Lusia Muda Maran.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh iaitu M Yugaraj, 23, B Saravanan, 33, N Mageswaran, 25, N Yogeswaran, 22, U Kunalan, 22, C Reshiwaran, 22 dan E Sasikumar, 26.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammad Ridhuan Che Bai, 26, dengan cara menetak menggunakan sebilah parang.

Kejadian berlaku di pondok pengawal di pusat komersial 11-Avenue, Persiaran Sungai Keramat, Jalan Rodat 1/KU5, Bandar Bukit Raja pada jam 2.00 pagi, 18 April lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 149 KK yang boleh dihukum di bawah kanun sama. Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rizal Azani Zainal Adzam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:39 AM