BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang pengawal keselamatan yang bergaduh di tempat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penolong pengurus syarikat perabot, didenda RM600 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Herman Shamsuddin, 36, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Dia didenda RM500 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan bergaduh dan denda RM100 atau penjara sebulan bagi kesalahan kata-kata kesat itu di depan pondok pengawal keselamatan kondominium Flora Damansara, di sini, pada 8.10 pagi, 31 Januari lalu.

Bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Kevin Lam Chin Wai, 31, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 manakala pertuduhan bergaduh dengan individu sama mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh, pengawal keselamatan di kondominium itu didatangi Lam yang memarahinya dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak puas hati keretanya dikunci rakan sekerja tertuduh pada malam sebelumnya.

Lam kemudian menolak dada dan menendang paha kiri tertuduh menyebabkan dia terjatuh dan ditumbuk sekali di pipi kiri ketika cuba bangun.

Tertuduh kemudian membalas serangan dengan menumbuk mulut lelaki itu sebelum datang pengawal keselamatan lain yang meleraikan mereka.

Di mahkamah sama, Lam yang turut didakwa bagi kedua-dua pertuduhan yang sama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah membenarkan Lam diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin bagi kesalahan kata-kata kesat dan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi bergaduh di tempat awam.

Mahkamah menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes Lam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:20 PM