Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tukang kebun sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh pengawal keselamatan, minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, K R Ravinderan, 55, berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, namun tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, S Punitha.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Faizal Asri, 43, di dalam pondok pengawal Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Seri Botani, Simpang Pulai, antara 3 petang hingga 8 malam 13 Oktober lalu.

Perbuatan itu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, Hanifatinnasikha Mod Dimiyati.

Sebutan kes itu juga turut dihadiri oleh peguam pemerhati untuk keluarga mangsa, Syamil Haidhar.

Tiada jaminan ditawarkan berikutan membabitkan kes bunuh dan mahkamah menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi bacaan laporan kimia dan post mortem.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan dilapor berkata, maklumat kematian mangsa di pondok pengawal sekolah terbabit diterima 3.34 pagi 14 Oktober dan siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca disebabkan suspek marah apabila mangsa enggan membantu apabila diminta untuk membuat persiapan program sekolah.

RAVINDERAN dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh pengawal keselamatan minggu lalu. FOTO L Manimaran
RAVINDERAN dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh pengawal keselamatan minggu lalu. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 11:51 AM