SHANIZAH yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
SHANIZAH yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Bahau: Seorang lelaki mengharapkan sumbangan kewangan daripada orang ramai bagi membolehkan pembedahan ke atas isterinya, Shanizah Mohd Shizan, 34, yang menghadapi masalah tulang belakang, dapat dijalankan segera.

Mohd Zakir Zainal Abidin, 42, dari Kampung Bukit Laka, di sini, berkata, isterinya turut menghidap kanser paru-paru tahap empat dan memerlukan RM30,000 bagi kos pembedahan berkenaan.

Katanya, bermula dengan batuk pada April tahun lalu, keadaan isterinya bertambah serius apabila mula kehilangan suara pada Julai tahun yang sama.

“Saya sudah bawa isteri dapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan, namun penyakitnya gagal dikesan sehinggalah saya membawanya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Februari lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mohd Zakir berkata, ujian dan pemeriksaan pegawai perubatan di PPUKM mengesahkan isterinya menghidap kanser paru-paru yang kritikal dan sudah merebak ke bahagian tulang belakang.

Bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga 14 tahun itu berkata, ketika ini, isterinya sedang menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi termasuk ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Menurutnya, akibat penyakit berkenaan, berat badan isterinya turun mendadak daripada 55 kilogram kepada 39 kilogram.

“Saya bekerja sendiri membuat pendawaian elektrik dan pendapatan diterima tidak menentu menyebabkan saya gusar memikirkan bagaimana hendak mencari duit bagi menampung kos pembedahan isteri,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Mohd Zakir Zainal Abidin 155032476369 atau menghubunginya di talian 019-6121455.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:38 AM