RAFIDAH menyuap minuman untuk suaminya, Sofi yang menghidap kanser tulang dan buah pinggang serta paru-paru berair dan jantung. FOTO Zulliaty Zulkiffli
RAFIDAH menyuap minuman untuk suaminya, Sofi yang menghidap kanser tulang dan buah pinggang serta paru-paru berair dan jantung. FOTO Zulliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang pesakit kanser tulang buntu mencari sumber kewangan bagi menjalani pembedahan menggantikan tulang pangkal lengan tangan kanan yang tidak dapat berfungsi akibat kanser yang merebak.

Mohamad Sofi Abdul Ghani, 44, berkata kos pembedahan yang diperlukan adalah RM20,000 bagi menggantikan tulang dengan tulang titanium.

Katanya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai posmen sejak sakit manakala isterinya, Nor Rafida Ahmad, 44, turut berhenti kerja kerana menjaganya di rumah.

"Saya disahkan menghidap kanser tulang selepas menjalani rawatan akibat terjatuh di tempat kerja pada tahun 2020.

"Saya turut menghidap kanser buah pinggang tahap empat menyebabkan sebelah kiri sudah dibuang manakala sebelah kanan pula di tahap tahap tiga.

"Doktor beritahu saya tidak boleh menjalani rawatan dialisis ketika ini kerana masalah kesihatan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar di sini, hari ini.

Mohamad Sofi berkata, selain itu, dia yang turut mempunyai masalah jantung serta paru-paru berair menyebabkan dia tidak boleh melakukan kerja berat dan hanya mampu berehat di rumah.

Katanya, doktor mencadangkan supaya dia mendapatkan bantuan oksigen ketika waktu tidur bagi mengelakkan dia berhenti bernafas.

"Ketika melakukan 'sleeping test' (ujian tidur) di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Februari lalu, lima kali pernafasan saya terhenti dan pada masa sama, jantung saya tersumbat dua saluran tetapi doktor tak mahu buat angiogram sebab takut risiko," katanya.

Mohamad Sofi berkata, dia kini hanya bergantung pada ubat oral kemoterapi yang dibekalkan doktor selain menjalani rawatan di HPP antara lima hingga enam kali sebulan.

"Ketika melakukan pemeriksaan di HPP baru-baru ini doktor memaklumkan sel kanser saya cepat merebak dan kalau boleh saya perlu menjalani pembedahan segera.

"Saya mempunyai enam anak berusia lima hingga 20 tahun yang masih bersekolah menyebabkan buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membolehkan pembedahan dilakukan bila-bila masa," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan melalui akaun 02119-29-81321351-1 (BSN) milik Mohamad Sofi Abdul Ghani.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengunjungi pesakit itu dan menghulurkan sumbangan kepadanya untuk meringankan beban mereka.

Katanya, CSM berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan sumbangan buat pesakit ini bagi memudahkan dia mendapatkan kos pembedahan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:36 PM