JALALUDDIN bersama Loraine ketika berangkat ke Tanah Suci. FOTO ihsan Jalaluddin Pateh Akhir.
JALALUDDIN bersama Loraine ketika berangkat ke Tanah Suci. FOTO ihsan Jalaluddin Pateh Akhir.
Faliq Lajim


“MESKIPUN sedih, kami gembira dapat menunaikan hasratnya untuk melakukan ibadat haji bersama sebelum arwah pergi buat selama-lamanya,” kata Jalaluddin Pateh Akhir, 59.

Isterinya, Loraine Salih, 55, menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya, pada jam 4.15 pagi tadi akibat barah paru-paru dan tulang rusuk.

Menurut Jalaluddin, pada mulanya, isterinya itu disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga pada 2016.

“Namun, setahun selepas itu doktor sahkan dia bebas daripada kanser itu dan kami terus mengemukakan rayuan menunaikan haji lebih awal kepada Tabung Haji (TH).

“Alhamdulillah, tiga hari sebelum Aidilfitri lalu, kami menerima panggilan daripada TH yang memaklumkan kepada kami dijemput untuk menjadi tetamu Allah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, sebelum bertolak ke Makkah, arwah terlebih dulu membuat rawatan susulan di IKN, Putrajaya dan doktor kemudiannya mengesahkan isterinya itu menghidap kanser paru-paru serta tulang rusuk tahap empat.

Jalaluddin berkata, walaupun terkejut dengan berita itu, namun arwah isterinya tetap bertegas mahu menunaikan haji meskipun dia dan ahli keluarga yang lain cuba melarangnya.

“Itu permintaan arwah sebelum dia pergi dan kami akur dengan kemahuannya selepas mendapat nasihat daripada doktor dan pihak TH.

“Kami bertolak pada 28 Julai lalu. Di sana pihak perubatan daripada Pusat Rawatan TH Syisyiah yang menguruskan isteri saya.

“Walaupun, arwah dalam kesakitan, namun dia tetap bersemangat dalam melakukan ibadat itu dan berjaya menyempurnakan rukun haji iaitu tawaf dan saei,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, isterinya kemudian dimasukkan ke IKN sehari selepas pulang ke Malaysia pada 21 Ogos lalu.

“Doktor memaklumkan harapan untuk arwah sembuh sangat tipis. Dia kemudian menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi ketika sedang koma di IKN,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, PJS 4, Petaling Jaya, petang tadi selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz sebaik selesai solat Jumaat.

Dalam pada itu, Jalaluddin, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak TH yang memberi layanan kelas pertama kepada isteri sepanjang di Tanah Suci walaupun mereka adalah jemaah haji muassasah.

“Di sana kami terpisah berikutan isteri di tempatkan di pusat rawatan. Namun, saya dan arwah sentiasa berhubung dan dia selalu menceritakan layanan yang oleh bagus diterimanya ketika menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:58 PM