Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bersedia memberi kursus pemulihan kepada pelajar pintar Qairil Azry Zahrin, 20, yang disahkan buta pada Julai tahun lalu bagi meningkatkan semangatnya untuk meneruskan hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengurus Kanan Jabatan Teknologi Maklumat MAB Silatul Rahim Dahman berkata, kursus ini adalah satu bonus kepada Qairil Azry kerana dia adalah seorang pintar dan mudah menerima pelajaran baru.

“Kursus pemulihan hanya mengambil masa enam bulan sehingga setahun, tetapi kita yakin Qairil Azry boleh belajar dengan cepat kerana dia seorang yang pintar.

“Melalui kursus ini, mereka akan dilatih untuk menyesuaikan diri sebagai orang buta dan mereka akan diajar menggunakan tongkat, komputer dan kaedah Braille,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan Qairil Azry yang juga bekas pelajar Matrikulasi Kolej MARA Kuala Nerang disahkan buta sepenuhnya oleh doktor pada Julai tahun lalu selepas mengalami gangguan penglihatan sejak berusia 13 tahun.

Disebabkan, haluan hidupnya berubah dia terpaksa menolak melanjutkan pengajian ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Bangi, Selangor dalam bidang penerbangan yang diminatinya sejak dari bangku persekolahan.

Kini dia terpaksa melupakan hasrat bergelar juruterbang kerana dikatakan tiada peluang untuk pulih dan pakar perubatan mengesahkan tiada ubat untuk matanya sembuh.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:42 AM