DR Mohd Sabri (kiri)  mendengar cerita Qairil ketika melawatnya.
DR Mohd Sabri (kiri) mendengar cerita Qairil ketika melawatnya.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Kuala Pilah: “Kami merujuk kes Qairil Azry Zahrin yang disahkan buta pada 20 Julai tahun lalu kepada dua pakar perubatan yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting,” kata Setiausaha bekas pelajar Anak Sains MARA (ANSARA) cawangan MRSM Serting, Fauzi Ahmad Marzuki.

Fauzi Ahmad, 37, berkata, dua bekas pelajar maktab berkenaan masing-masing menjadi doktor pakar mata di Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) dan pakar saraf di Hospital Selayang, Selangor.

Katanya, sebaik kisah Qairil Azry, 20, disiarkan akhbar ini minggu lalu mereka berhubung dengan pakar perubatan itu bagi membantunya termasuk dengan seorang lagi bekas pelajar yang bertugas sebagai pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan.

“Mereka beri pandangan mengenai usaha merawatnya dan ia satu pilihan untuk Qairil Azry,” katanya ketika ditemui selepas melawat Qairil Azry di Kampung Pulau Pandan, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar MRSM Serting Dr Mohd Sabri Mamat.

Fauzi Ahmad yang juga Pensyarah di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, ANSARA membantu Qairil Azry yang belajar di MRSM Serting, Jempol dari 2008 hingga 2012 mengenal pasti punca dia hilang deria penglihatan.

Sebanyak RM3,022 disumbangkan kepada Qairil Azry hasil kutipan daripada guru, pelajar, staf dan pihak Muafakat MRSM Serting manakala RM580 disumbangkan ANSARA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 9:41 AM