Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Semua platform permohonan bantuan dan insentif Covid-19 diumumkan kerajaan perlu disediakan dalam bentuk lebih mesra orang kurang upaya (OKU) terutama golongan masalah penglihatan supaya mereka tidak tercicir menerima manfaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman berkata, kebimbangan itu wujud apabila banyak maklumat dikeluarkan setiap hari oleh kerajaan tidak sampai kepada golongan OKU cacat penglihatan berikutan kekangan mereka membaca maklumat dalam Internet kecuali mendengar radio atau menonton televisyen.

"Tambah kritikal apabila ada insentif daripada kerajaan itu perlu dimohon secara dalam talian. Rata-rata OKU penglihatan menghadapi masalah ini.

"Saya bercakap bagi pihak OKU penglihatan dan mungkin juga OKU lain yang mengalami masalah mengakses maklumat," katanya sempena sambutan Hari OKU Sedunia di Pusat Rukun Tetangga Brickfields sempena Hari OKU di sini, tadi.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan perkhidmatan tambahan untuk memudahkan golongan OKU terjejas memohon sebarang bentuk bantuan ketika pandemik ini.

"Perkhidmatan untuk OKU memohon segala insentif seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bantuan Sara Hidup (BSH), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan sebagainya ini amat penting kerana ramai OKU tercicir disebabkan tiada mekanisme untuk mereka memohon.

"Jadi perlu ada sistem perkhidmatan tambahan lebih mesra OKU misalnya melalui telefon yang membolehkan orang buta dapat membuat panggilan kepada pihak lain bagi membantu mengisikan borang secara dalam talian," katanya.

SILATUL Rahim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SILATUL Rahim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kaedah khidmat pemeriksaan dan rawatan ke rumah bagi OKU bergejala Covid-19.

"Saya rasa, bilangan OKU 549,554 di Malaysia ini masih boleh ditangani lebih praktikal jika dibandingkan dengan jumlah 33 juta rakyat kita," katanya.

Dalam sidang media sama, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Zairudin Hashim berkata, pihaknya mensasarkan kutipan RM100,000 menerusi Kempen Tabung Dana Prihatin bagi projek mencetak dan menerbitkan buku teks sekolah dalam bentuk Braille.

"Projek ini digerakkan ABIM dengan kerjasama MFB bagi mengedarkan buku Sejarah kepada 1,000 pelajar yang mengalami masalah penglihatan di seluruh negara.

"Buat masa ini kita berjaya mengumpul RM10,000 dan kempen ini akan diteruskan hingga pertengahan tahun hadapan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:13 PM