QAIRIL Azry menerima sumbangan  JKM sebanyak RM200 daripada Norhayati (empat dari kiri)
QAIRIL Azry menerima sumbangan JKM sebanyak RM200 daripada Norhayati (empat dari kiri)
Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Nasib bekas pelajar matrikulasi Kolej MARA yang disahkan buta sepenuhnya oleh doktor pada Julai tahun lalu mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Pilah.

Qairil Azry Zahrin, 20, menerima bantuan sebanyak RM200 yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pilah, Datuk Norhayati Omar ketika melawat pelajar pintar itu di kediamannya di Kampung Pulau Pandan, dekat sini, kelmarin.

Norhayati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri berkata, JKM meluluskan permohonan Qairil Azry untuk menerima bantuan RM200 bermula bulan ini.

“Qairil Azry menerima bantuan bagi kategori orang kurang upaya (OKU) yang tidak bekerja. Namun, saya difahamkan, Qairil akan mula membantu ibunya untuk berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah mereka dengan menjual air tebu, lemang dan dodol.

“Saya menasihatkannya supaya membuat permohonan bagi kategori OKU bekerja secepat mungkin supaya jumlah bantuan dapat ditambah kepada RM350 sebulan bermula bulan depan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun peluang untuk pelajar itu melihat semula tipis, Qairil Azry tetap berusaha menggunakan satu produk herba kira-kira sebulan lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:30 AM