Azmi (kiri)  menunjukkan cara menggunakan tongkat putih kepada Qairil di rumah di Kampung Pulau Pandan.
Azmi (kiri) menunjukkan cara menggunakan tongkat putih kepada Qairil di rumah di Kampung Pulau Pandan.

Kuala Pilah: Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) membuka peluang kepada pelajar pintar, Qairil Azry Zahrin, 20 yang disahkan buta pada Julai tahun lalu supaya mengikuti program ditawarkan persatuan berkenaan.

Jurulatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) MAB Azmi Abdullah, 49, berkata, pihaknya menyarankan Qairil Azry mengikuti program Perubatan Orientasi dan Mobiliti yang mengajarnya menggunakan tongkat putih.

Katanya, dengan pengajian ditawarkan, pelajar terbabit diberikan asas bagaimana bergerak dan berdikari biarpun penglihatan terjejas.

“Menerusi pembelajaran ini, Qairil Azry akan diajar untuk berjalan, menyasar laluan dan sebagainya untuknya lebih berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Qairil Azry di rumahnya di Kampung Pulau Pandan, di sini, semalam.

Harian Metro menerusi muka hadapan pada 9 Februari lalu melaporkan Qairil Azry sepatutnya melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Penyelenggaraan Automotif di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada September tahun lalu dengan menerima tajaan MARA.

Laporan berkata, bagaimanapun bekas pelajar kolej matrikulasi, Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah itu mengalami masalah saraf mata pada April tahun sebelum sebelum disahkan buta kekal pada Julai tahun lalu.

Azmi berkata, beliau yakin selepas enam bulan mengikuti program, Qairil Azry mampu bergerak sendiri dan menggunakan tongkat putih.

Sementara itu Qairil Azry berkata, beliau bersyukur kerana ada pihak yang tampil membantu dirinya yang malang itu.

“Saya menerima tawaran ini dan belajar menggunakan tongkat putih selepas Sambutan Tahun Baru Cina. Ini merupakan sesuatu yang baru dalam hidup saya.

“Bagaimanapun, saya begitu mengharapkan penglihatan saya kembali pulih dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:39 AM