Rosyahaida Abdullah

SEBANYAK 100 pek makanan asas disumbangkan empat agensi kepada Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) sebagai bantuan segera untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang terjejas akibat Covid-19.

Di bawah inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sumbangan diserahkan wakil beliau yang juga Setiausaha Politiknya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Menurut Wan Mohamad, empat agensi di bawah Zulkifli terbabit dalam inisiatif itu iaitu Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Taqwa MAIWP.

Katanya, melalui Program Musaadah Covid-19, Zulkifli menggerakkan keseluruhan agensi di bawahnya untuk menjejaki dan membantu kumpulan yang terjejas teruk akibat Covid-19 khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Alhamdulillah, inisiatif ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak dan dengan YOBM diharap menjadi satu permulaan untuk kita teroka banyak lagi kerjasama serta bantuan pasca Covid-19.

"Penyampaian pada hari ini adalah simbolik dalam bentuk barangan keperluan harian khususnya makanan asas kepada 100 penerima yang turut disalur secara berterusan kepada golongan sasar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita sedar lanjutan daripada Covid-19 dan PKP yang berterusan, kita juga berdepan dengan kumpulan yang di peringkat awalnya mereka adalah golongan penyumbang tapi apabila pandemik ini berlaku, mereka berada dalam keadaan orang yang perlu diberi perhatian dan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harian Metro pada sesi penyerahan ringkas di pejabat YOBM di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAWHAR, Ruslan Said, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Abdul Halim Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Zabidi Nasan.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif YOBM, Silatul Rahim Dahman menzahirkan penghargaan mewakili 45,000 OKU penglihatan di seluruh negara buat Zulkifli atas inisiatif membantu.

"OKU penglihatan yang paling terjejas adalah mereka yang bekerja sendiri seperti penjaja tisu, penghibur jalanan, tukang urut, juru refleksologi serta penjual kraftangan.

"Memandangkan mereka termasuk dalam industri yang masih belum dibenarkan beroperasi, mereka hilang punca pendapatan dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada badan yang memayungi orang buta di Malaysia seperti YOBM.

"Saya berharap perhubungan yang terjalin akan berterusan untuk jangka masa panjang," katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan itu.

Menurutnya, beliau juga berharap perbincangan yang diadakan bersama Yayasan Taqwa MAIWP sebelum ini akan diteruskan selepas PKP tamat.

"Ia berhubung bantuan untuk membiayai kos pengeluaran bahan bacaan braille bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 untuk 1,000 pelajar buta di seluruh negara. Perbincangan masih lagi berjalan namun terhenti akibat PKP. Diharap ia akan bersambung balik selepas ini," katanya.

WAN Mohamad (kiri) menyerahkan sumbangan kepada ahli Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YOBM, Silatul Rahim Dahman (dua dari kiri).
WAN Mohamad (kiri) menyerahkan sumbangan kepada ahli Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YOBM, Silatul Rahim Dahman (dua dari kiri).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 8:14 PM