Anggota polis menyiasat di lokasi kejadian di Jalan Gapam, Kampung Gapam, Ayer Keroh, Melaka.
Anggota polis menyiasat di lokasi kejadian di Jalan Gapam, Kampung Gapam, Ayer Keroh, Melaka.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Salleh

Melaka: “Adik bercadang bersara Mei ini, dan tidak sangka kejadian tragis ini berlaku,” kata Ong Thai San, 63, abang Ong Thai Hock, 56, yang ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri berhampiran Kampung Solok Hilir, Jalan Gapam, Ayer Keroh di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 2 pagi itu, Thai Hock dari Taman Bemban Baru, Jasin, mati di tempat kejadian selepas tembakan senapang patah yang dibawanya terkena muka dan dada kanannya.

Thai Hock yang juga bapa saudara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban Datuk Ng Choon Koon, ditemui terbaring di atas jalan dalam keadaan kaki kanan tersangkut pada tempat duduk Yamaha Lagenda miliknya dan enjin motosikal itu masih hidup, kira-kira 100 meter dari laluan utama Jalan Gapam.

Ong berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan berusia 40-an memburu di ladang kelapa sawit dan ketika pulang, mereka mengikut jalan berasingan.

“Rakannya beritahu mereka sepatutnya berjumpa di simpang jalan berhampiran tetapi selepas setengah jam menunggu, adik saya masih tidak kelihatan menyebabkan rakannya berpatah balik mencari adik.

“Setiba di tempat kejadian, rakannya terkejut melihat adik cedera parah di dada dan muka kanan, terbaring dengan kaki kanan tersangkut di atas motosikal miliknya, manakala enjin kenderaan itu masih hidup,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Menurutnya, adiknya dipercayai memberhentikan motosikal berkenaan di kawasan berkenaan untuk mengosongkan senapang dibawanya sebelum tertembak diri sendiri.

“Ketika ditemui, gear motosikal itu juga dalam keadaan neutral. Kami percaya adik berhenti di situ untuk mengosongkan senapang kerana mengikut peraturan, senjata itu perlu dikosongkan ketika di tempat awam,” katanya.

Anak mangsa, Ong Thiam Seng, 35, berkata dia yang ketika itu berada di Singapura bergegas pulang selepas diberitahu mengenai kejadian menimpa bapanya.

“Kali terakhir saya berjumpa bapa ketika pulang dua minggu lalu dan saya sepatutnya pulang minggu hadapan untuk menyambut Tahun Baru Cina.

“Bapa memang gemar dan mahir berburu, saya pernah melihat dia membawa pulang babi hutan dan tupai. Dia juga selalu membantu rakan serta orang ramai memburu binatang liar yang memusnahkan tanaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian menimpa mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa memburu dengan seorang rakan sebelum dia ditemui rakannya dalam keadaan cedera parah dipercayai terkena tembakan. Mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk sama ada mangsa mempunyai lesen senjata api atau tidak. Rakan mangsa juga akan dirakam keterangannya,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 9:10 AM