MOHD Shah menunjukkan lengan kirinya yang dikelar suspek.
MOHD Shah menunjukkan lengan kirinya yang dikelar suspek.

Melaka: Seorang pekerja sebuah kilang elektronik bukan saja kehilangan motosikal, malah lengannya turut dikelar dua penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa Mohd Shah Hiran Roslee, 21, menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit di Pantai Puteri sebelum dihalang dua lelaki menunggang motosikal jenis sama setibanya di lokasi.

Menurut Mohd Shah, ketika dalam perjalanan ke kedai runcit, dia berselisih dengan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum mereka berpatah balik lalu menghalang laluannya.

“Saya tergamam apabila pembocengnya terus melompat turun dan mencabut kunci motosikal sebelum dia mengambil parang dibawanya yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

“Terkejut dengan tindakannya itu, saya cuba menghalang, namun lelaki itu dengan pantas menghiris lengan saya kiri hingga terbelah menyebabkan darah memancut keluar,” katanya di sini, semalam.

Mohd Shah berkata, kedua-dua penjenayah itu kemudian beredar sambil membawa lari motosikalnya sebelum menghilangkan diri.

Katanya, seorang rakan yang kebetulan melalui tempat kejadian membantu membawanya pulang ke rumah.

“Saya menceritakan kejadian kepada ibu sebelum dihantar untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik berdekatan.

“Kecederaan yang saya alami agak parah lalu dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, di sini, sejurus kejadian.

Difahamkan, seorang lelaki berusia awal 30-an ditahan beberapa jam selepas kejadian dan motosikal milik mangsa yang dilarikan turut ditemui semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan mengenai kejadian itu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:54 AM