KEADAAN ambulans yang terbabit nahas. Gambar dalam bulatan, Mohamad Shafry yang tercedera.
KEADAAN ambulans yang terbabit nahas. Gambar dalam bulatan, Mohamad Shafry yang tercedera.

Alor Gajah: Sebuah ambulans Hospital Port Dickson yang dalam perjalanan ke bengkel untuk dibaik pulih, terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Linggi, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari ketika hujan lebat itu, ambulans dipandu Mohamad Shafry Alias, 28, terbabas ke kiri jalan selepas mengelak sebuah kenderaan yang keluar simpang.

Difahamkan, pemandu ambulans itu cedera pada bahagian tulang rusuk dan tangan kanan serta bahagian tengkuk, manakala rakannya, Mohd Helmi Roslan, 25, tidak cedera.

Mohamad Shafry berkata, dia dalam perjalanan dari Hospital Port Dickson untuk menghantar ambulans yang mengalami masalah teknikal ke sebuah bengkel di Cheng, Melaka sebelum terbabit dalam nahas itu.

“Selepas mengelak kereta itu, ambulans terbabas lalu merempuh pagar rumah penduduk kampung sebelum merempuh bangsal di hadapan rumah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:27 AM