Kemalangan di Batu 13, Jalan Kuching-Serian yang mengorbankan seorang lelaki malam tadi. FOTO ihsan bomba
Kemalangan di Batu 13, Jalan Kuching-Serian yang mengorbankan seorang lelaki malam tadi. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Padawan: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandu dirempuh sebuah lori treler dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.05 malam itu, pemandu Proton Wira, Grope Miple, 66 maut di lokasi kejadian, manakala pemandu Toyota Hilux dan treler tidak cedera.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dilanggar Toyota Hilux dari belakang ketika dia keluar simpang.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas, berpusing dan masuk ke laluan bertentangan.

"Kebetulan sebuah treler berada di laluan bertentangan dan terus merempuh kereta mangsa.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Alexson berkata, ketika kejadian hujan lebat dan permukaan jalan licin.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 11:36 PM