Hassan Omar


SEORANG abang tidak menyangka tindakan adik bongsunya menghulur wang kepada bapa mereka adalah pemberian terakhir sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Muhammad Syafiqal Othman, 20, meninggal dunia di Hospital Port Dickson akibat cedera parah di kepala.

Sebelum kejadian, Muhammad Syafiqal menghulurkan wang kepada bapanya, Othman Md Dom, 59, sebelum menunggang motosikal jenis Honda dari rumahnya di Kampung Nelayan, Kuala Linggi ke Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, Port Dickson.

Abang mangsa, Muhammad Syafinaz, 25, berkata tindakan Allahyarham itu bukan setakat mengejutkan bapanya, malah anggota keluarga lain juga kerana sebelum ini dia jarang berbuat demikian.

“Arwah adik menghantar manggis kepada teman wanitanya di kampung itu, tetapi terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang.

“Kami tidak sangka wang itu adalah pemberian terakhirnya untuk ayah, sebelum pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nelayan hari ini.

Muhammad Syafiqal yang juga anak bongsu daripada lapan beradik bekerja di bahagian pemunggahan barang di Pelabuhan Kuala Linggi di sini.

Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidisham Mohamad, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai cuba memotong sebuah lori.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa merempuh dengan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu anggota tentera berusia 29 tahun dari arah bertentangan.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa yang cedera kemudiannya di bawa dengan ambulans ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 malam tadi.

“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 6:02 PM