JENAZAH Allahyarham Koperal Azman disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Pangkalan Udara Subang.
JENAZAH Allahyarham Koperal Azman disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Pangkalan Udara Subang.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Punca kematian anggota komando Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-2, Allahyarham Koperal Azman Che Soh disahkan akibat kegagalan jantung berfungsi atau ‘cardiomyophaty’.

Perkara itu disahkan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad menerusi laporan awal bedah siasat diterima daripada pakar forensik Hospital Rafik Hariri, Beirut, Lubnan.

Ackbal berkata, bagaimanapun laporan penuh bedah siasat dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

“Sepanjang bertugas sebagai anggota tentera, laporan kesihatan arwah menunjukkan keadaan kesihatannya baik sehinggalah dia ditugaskan di Lubnan pada 18 September lalu.

“Kami tidak pasti apa punca sebenar yang menyebabkan jantungnya gagal berfungsi hingga menyebabkan kematiannya sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh,” katanya di balai berlepas Pangkalan Udara Subang, semalam.

Ackbal sebelum ini turut menyertai istiadat penghormatan terakhir serta solat jenazah di Masjid Al-Muhajirin sebelum jenazah Allahyarham Azman diterbangkan ke kampungnya di Kampung Pelunggul, Melor, Kota Bharu, Kelantan untuk dikebumikan.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan isteri Panglima Angkatan Tentera, Puan Seri Umi Kalsom Wan Awang.

Kata Ackbal, urusan membawa pulang jenazah memakan masa sehingga lima hari kerana pelbagai faktor termasuk menyelesaikan proses bedah siasat dan urusan perjalanan.

“Jenazah dibawa pulang ke tanah air menggunakan pesawat Qatar Airways dari Beirut ke Doha sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang jam 2.10 petang tadi (semalam).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 7:29 AM