DATUK Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM ke 20 di Pangkalan Udara Subang. FOTO Amirudin Sahib
DATUK Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM ke 20 di Pangkalan Udara Subang. FOTO Amirudin Sahib
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang: Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilantik sebagai Panglima TUDM yang ke-20 berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang akan bersara wajib bermula September ini.

Upacara pemakaian pangkat Jeneral kepada Mohd Asghar dipakaikan sendiri oleh Ackbal di Pangkalan Udara Subang disaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Selain itu, Ackbal turut menyerahkan tongkat kuasa Panglima TUDM kepada Mohd Asghar dalam majlis serah terima tugas jawatan nombor satu TUDM itu.

Sementara itu, Ackbal dalam ucapannya berterima kasih kepada kepada semua peringkat kepimpinan diatas kerjasama dan sokongan yang diberikan.

"Saya menaruh harapan tinggi dan memandang jauh ke hadapan supaya TUDM di bawah pimpinan PTU yang baharu mendapat kejayaan demi kejayaan," katanya pada perbarisan persaraan Panglima Tentera Udara ke-19 dan serah terima tugas di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Terdahulu Ackbal diraikan dalam majlis penuh istiadat ketenteraan bertempat di Pangkalan Udara Subang.

Istiadat perbarisan disertai 28 pegawai dan 431 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diiringi gabungan Pancaragam Pusat TUDM; Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Kapten Sabri bin Hamil TUDM.

Perbarisan istiadat ini membabitkan lapan panji-panji iaitu panji-panji Rejimen TUDM, Kolej Tentera Udara, No 10 Skiadron (Skn), No 12 Skn, No 15 Skn, No 16 Skn, No 18 Skn dan No 20 Skn bersama empat skuadron pengawal.

Untuk rekod, Mohd Asghar Khan, 57, anak kelahiran Selangor menyertai ATM pada 1983 sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja sebelum memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985.

Beliau berkata, pengalamannya sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara selama dua tahun di bawah pimpinan Ackbal akan digunakan bagi meneruskan usaha dalam memantapkan pasukan udara itu.

"Kami melalui cabaran dalam menghadapi situasi negara yang berhadapan dengan Covid-19 dan usaha bersama ini akan diteruskan. Terima kasih atas kepercayaan kepada saya untuk menerajui TUDM," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 1:20 PM