Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan menolak dakwaan mengatakan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) mengalami masalah kewangan apabila terpaksa meminjam RM500 juta daripada CIMB Bank.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan berkata, pinjaman itu dibuat berikutan berlakunya perubahan dasar pembiayaan pada 2012 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Bajet 2012 dan 2013 apabila syarikat terbabit hanya diperuntukkan wang subsidi RM20,000 untuk setiap unit Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Katanya, SPNB perlu meminjam baki pembiayaan RM45,000 bagi setiap unit RMR terbabit.

“Dengan persetujuan kementerian, SPNB mengambil keputusan membuat pinjaman berjangka daripada CIMB Bank Berhad RM495 juta bagi memastikan aspirasi kerajaan terhadap rakyat tercapai.

“Kaedah ini dipilih bagi mengelakkan pemohon meminjam daripada bank apabila bayaran balik tidak dapat dikekalkan RM150 sebulan.

“Justeru, dakwaan mengatakan SPNB mempunyai masalah teruk sehingga terpaksa meminjam daripada CIMB Bank RM500 juta adalah tidak benar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) yang bertanyakan mengenai sejauh mana kebenaran SPNB menghadapi masalah kewangan yang teruk dan terpaksa meminjam dari CIMB Bank RM500 juta untuk membina RMR.

Ahmad berkata, kerajaan sebenarnya berupaya menyediakan lebih banyak RMR jika tidak memberikan subsidi RM20,000 seunit.

Katanya, bagi memenuhi kehendak rakyat kerajaan membuat keputusan melaksanakan kaedah baru pada tahun depan dengan memberi subsidi mengikut keluasan rumah.

“Kaedahnya kita bagi subsidi berubah-ubah mengikut keluasan. Jika pinjamannya RM65,000, maka subsidi kerajaan RM20,000, harga RM55,000 subsidi RM17,500 kalau harga RM45,000 subsidi kerajaan RM15,000.

“Ketika ini kita berikan tanpa faedah kerana ia ditanggung kerajaan dan selepas ini, kerajaan menanggung dua peratus faedah dan bukan enam peratus, selepas baki ditolak, pemohon kena pinjam daripada tiga bank dan kaedah ini mula 2015.

“Untuk mereka yang tiada penyata gaji, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan di bawah Kementerian Kewangan menjamin pinjaman mereka namun bayaran RM150 sebulan akan naik kepada RM280 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM