CONTOH rumah SPNB di bawah program Rumah Mesra Rakyat.
CONTOH rumah SPNB di bawah program Rumah Mesra Rakyat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) (www.spnb.com.my) berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pembinaan sejuta unit rumah mampu milik menjelang 2018.

Presiden SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, sasaran itu hanya boleh dicapai dengan komitmen daripada semua pihak dan SPNB akan mempelbagaikan variasi produk bagi memenuhi semua segmen pembeli.

Katanya, SPNB juga yakin menerusi program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilancarkan sejak 2011 akan terus mendapat permintaan daripada orang ramai.

“RMR sangat unik kerana ia diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah daif, tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

“Malah, tahun ini kami akan membina lebih kurang 12,000 unit RMR di seluruh negara dengan anggaran kos membabitkan RM750 juta,” katanya.

Menurutnya, SPNB turut menerima permintaan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai sehingga pernah mencapai tiga kali terlebih permohonan berbanding penawaran.

Kamarul berkata, RMR disasarkan kepada golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan dan harga rumah yang ditawarkan sebanyak RM65,000 seunit.

“Daripada jumlah RM65,000 untuk membina RMR, RM20,000 daripadanya adalah subsidi daripada kerajaan manakala baki iaitu RM45,000 melalui pinjaman dan kerajaan juga menyerap dua peratus kadar pembiayaan terbabit.

“Jenis rumah bagi program RMR ini sangat popular kerana ia dibina di atas tanah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air,” katanya.

Beliau berkata, RMR banyak menerima permintaan di kawasan luar bandar dan setakat ini SPNB sudah membina rumah terbabit di setiap negeri di seluruh Malaysia.

Katanya, setakat 31 Disember 2014 SPNB telah menerima 72,469 permohonan dan 35,751 yang diluluskan. Manakala sebanyak 3,053 dalam proses pembinaan dan 32,698 RMR siap dibina.

SPNB mengalu-alukan permohonan daripada orang ramai dan pemohon yang layak adalah warganegara Malaysia berumur dari 18 hingga 65 tahun, pendapatan kasar seisi rumah RM3,000 sebulan.

Selain itu, pemohon yang tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah usang juga layak untuk memohon untuk dibaiki atau dibina rumah baru, begitu juga pemohon yang mempunyai tanah sendiri.

Jika tanah bukan kepunyaan sendiri, pemohon perlu mendapatkan surat akuan atau kebenaran daripada tuan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:12 AM