BERNAMA

Ipoh: Kerajaan Perak meminta rakyatnya yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanah yang ingin dibangunkan dengan kediaman sendiri, namun tiada kemampuan agar memohon kepada Yayasan Perak untuk membina rumah menerusi projek Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan di bawah program itu yang dilaksanakan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Pemohon boleh memohon pinjaman tanpa faedah melalui skim ini. Yayasan Perak akan meneliti dan menyemak permohonan mengikut syarat ditetapkan iaitu ada tanah sendiri, dalam golongan B40 dan juga golongan pertengahan yang mungkin ada pekerjaan tetapi tidak mampu membuat pinjaman perumahan.

"Peruntukan (RM10 juta) itu akan membantu SPNB membina tambahan 181 unit 'RMR Perakku Prihatin' berbanding 240 unit yang disasarkan pada tahun ini di Perak," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) RMR Perak, di sini hari ini.

DATUK Saarani Mohamad berucap pada majlis pelancaran Ipoh Smart City 2030 hari ini. FOTO Bernama
DATUK Saarani Mohamad berucap pada majlis pelancaran Ipoh Smart City 2030 hari ini. FOTO Bernama

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Datuk Hasleen Isnin, Pengerusi Yayasan Perak Datuk Tarmizi Idris dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak Datuk Jamaluddin Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata pembabitan PKMM akan memastikan kelancaran pembinaan rumah oleh kontraktor Kelas F di bawah naungan persatuan itu.

"Ini merupakan situasi menang-menang bagi kesemua yang terlibat, iaitu rakyat dapat rumah pada harga berpatutan dan kadar bayaran balik yang rendah, manakala kontraktor mendapat projek sementara SPNB dan Yayasan Perak pula menyempurnakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Sementara itu, Hasleen berkata, hingga kini SPNB telah menyiapkan 5,751 unit RMR di Perak, sementara 21 lagi sedang dibina dan 1,197 unit pula telah mendapat kelulusan untuk pembinaan.

Menurutnya, SPNB berjaya membina kira-kira 47, 000 RMR di seluruh negara setakat ini.

Sebelum ini dilaporkan SPNB diamanahkan oleh kerajaan untuk membangunkan 3,000 unit rumah RMR pada tahun ini dengan 749 unit sedang dalam pembinaan dan 1,531 unit lagi pada peringkat menandatangani dokumen perjanjian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 5:01 PM