Ahmad Husni (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kelayakan kepada penerima RMR1M, Thalabiah Zamzamin sambil diperhatikan Dr Abd Latiff (lima dari kiri).
Ahmad Husni (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kelayakan kepada penerima RMR1M, Thalabiah Zamzamin sambil diperhatikan Dr Abd Latiff (lima dari kiri).
myMetro

Kuala Kangsar: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya, SPNB Mesra Sdn Bhd (MESRA) memberi subsidi RM2.46 juta bagi 77 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) untuk penduduk di daerah ini.

Subsidi pembinaan bagi setiap rumah sebanyak RM20,000 menjadikan nilai keseluruhan RM1.54 juta ditambah subsidi kadar keuntungan dua peratus sebanyak RM920,000.

Pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, seramai 77 penerima di daerah ini layak menerima RMR1M dan pembinaan rumah di tanah sendiri itu dijangka siap dalam tempoh 90 hari.

Beliau berkata, penerima RMR1M memperoleh kediaman seluas 1,000 kaki persegi berharga RM65,000, namun selepas ditolak subsidi RM20,000, mereka hanya perlu membayar RM45,000.

“Sebulan, penerima hanya perlu membayar RM270 untuk tempoh selama 25 tahun.

“Di Perak dari 2002 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 9,121 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 4,044 permohonan diluluskan dan 3,796 rumah disiapkan.

“Selain itu, ada 186 rumah dalam proses pembinaan manakala 62 permohonan di peringkat dokumen perjanjian serta 2,146 pemohon dalam senarai menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M Parlimen Kuala Kangsar di sini, semalam.

Ia disempurnakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohd Hanadzlah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:23 AM