PRESIDEN Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, Naib Presiden YA1M, Datuk M Nasir, Ahli Lembaga Pengarah YA1M, Datuk A Rahman Hassan, S. Kanagarajah dan Naib Presiden Eksekutif New Media TM, Jeremy Kung bergambar bersama artis-arits vateran selepas majlis sumbangan kepada artis-artis veteran anjuran Yayasan Artis 1Malaysia sempena menyambut Aidilfitri di Cyberjaya.
PRESIDEN Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, Naib Presiden YA1M, Datuk M Nasir, Ahli Lembaga Pengarah YA1M, Datuk A Rahman Hassan, S. Kanagarajah dan Naib Presiden Eksekutif New Media TM, Jeremy Kung bergambar bersama artis-arits vateran selepas majlis sumbangan kepada artis-artis veteran anjuran Yayasan Artis 1Malaysia sempena menyambut Aidilfitri di Cyberjaya.
Adam Salleh

Sepatah kata Nora Danish di hadapan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak, ada 62 persatuan seni di tanah air. Nora sembang kencang sedemikian sewaktu Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Penggiat Seni Dengan PM pada 17 Mei lalu hingga mencuit rasa lucu pada PM dan secara berseloroh dijawab sinis Najib, parti politik di tanah air pun tidak sebanyak itu.

Sempena Ramadan ini, cuba kita bayangkan jika 25 daripada 62 persatuan seni kita itu buat majlis berbuka puasa yang sinonim disebut iftar, disertakan pula wang tunai, lalu seorang penerima sekiranya namanya tersenarai menerima sumbangan RM1,000 di 25 majlis iftar berkenaan, bermakna artis itu boleh membawa pulang duit raya sebanyak RM25,000.

Itu belum dikira jika artis berpasangan dan kedua-duanya uzur. Sudah ditakdir itu rezeki mereka, tidak mengapalah kerana kita maklum tidak semua persatuan seni itu berkemampuan menganjurkan majlis berbuka puasa dek kekangan kewangan. Kalau pun ada cuma Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menganjurkan iftar pada Ahad lalu di Finas, Hulu Klang.

Tidak berbunyi pula Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Lagu Tanahair (Papita) mahu menganjurkan majlis iftar ini, namun difahamkan Presidennya, Datuk M Daud Wahid kini kurang sihat. Persatuan seni lain seperti Karyawan diterajui Datuk Freddie Fernandez dan Yayasan Artis 1 Malaysia oleh Datuk DJ Dave selaku presidennya, barangkali ada program lain selepas Aidilfitri.

Ahad ini pula ribuan penggiat seni akan berkampung di Laman Sari, Seri Perdana, Putrajaya dan lebih 100 artis dan penggiat seni bakal menerima sumbangan ‘duit raya.’ Julung kali diadakan majlis berbuka PM dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan sasterawan, karyawan, budayawan, seniman dan penyiar tanah air ini di kala Ramadan berbaki enam hari.

Penulis tidak terkecuali dihubungi pihak Yayasan Perdana Ummah selaku penyelaras majlis untuk mendapatkan artis tertentu yang layak diberi sumbangan. Andai kata artis berkenaan uzur, disediakan pengangkutan bagi membolehkan mereka hadir juga pada majlis bermakna itu. Yang terlintas di fikiran siapa lagi jika bukan anak Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali selain seniman Latiff Borgiba dan penyanyi lagu Satira, Hang Mokhtar. Sazali menetap di Semenyih, Hang Mokhtar berdekatan Stadium Bukit Jalil dan Latiff pula di rumah pangsa Setapak.

Sekalipun puas memujuk, baik Sazali, Latiff dan Hang Mokhtar, masing-masing tidak dapat hadir dek keuzuran. Namun Latiff menghantar wakil iaitu isteri dan anak perempuannya. Untuk menyelaras program membabitkan penggiat seni yang uzur dan disediakan pula sumbangan bukan mudah kerana perlu ada ketelusan bagi mengelak ketirisan dalam pemilihan.

Sebabnya, tidak adil jika dalam majlis seumpama begini asyik muka yang sama mendapat sumbangan dan imbuhan, manakala mereka yang layak hanya menggigit jari kerana bukan kroni. Luahan emosi seniwati veteran, Norlia Ghani di ‘Facebook’ beliau semalam mengundang pelbagai tanda tanya di sebalik kejujuran jika membabitkan sumbangan untuk artis.

Memetik entri Norlia itu, “Bulan-bulan puasa ni pun ada jugak hasad dengki ya. Hari ini sepatutnya ada sumbangan buat artis-artis dari anak PM. Dan nama-nama yang akan menerima sudah dipilih. Tiba-tiba ada pula yang berasa dirinya besar telah merombak nama-nama yang terpilih. Dia berasa dialah penentu memberi rezeki bukan Allah. Nauzzubillahminzalik.”

Entri ‘Joyah’ itu mendapat 55 komen dan hampir 300 Like. Agak menarik rakan seperjuangan Norlia juga pelakon, Ku Fridah Ku Shafie memberi reaksi humor dipetik begini, “Hahaha kak Norlia Ghani, ada satu lagi harapan on 18 kak...tu pun kalau tak kena caras!” Tarikh 18 dimaksudkan Ku Fridah adalah 18 Jun iaitu Majlis Berbuka Puasa Bersama PM di Putrajaya.

Dibalas Norlia, “Itu Karyawan yang atur, tapi masalahnya transport pulak tiada. Jangan bergantung sangatlah sumbangan VVIP ni, VVVVIP Allah lagi berkat. Istighfar banyak-banyak rezeki lain Allah atur.” Nada Norlia itu keluhan emosi kecewa, namun harus diingat setiap majlis iftar bersama penggiat seni penganjurnya tidak sama kepala, korporat ada yang perseorangan pun ada.

Sama seperti iftar disertai anak-anak yatim, begitulah juga dengan kehadiran artis. Kita biasa melihat anak-anak yatim ini cuma dilayan penuh mesra semata-mata mahu dipotretkan aksi suap-menyuap untuk beberapa detik saja. Kemudian pandai-pandai merekalah membawa diri. Tidak semua majlis terjadinya insiden begini, namun acapkali berlaku.

Dengan mengundang artis ke majlis seumpama ini pula ‘limelight’ publisiti itu lebih menyeluruh. Di sinilah pentingnya artis dan pemimpin persatuan yang memayungi insan seni itu untuk berurusan lebih telus dan jujur dengan ‘tuan rumah’ agar majlis menjadi harmoni bukan medan menganiaya orang. Perihal iftar ini pernah terjadi pada ibu penulis sendiri (Allahyarhamah Raja Hamidah Saat) dalam satu majlis berbuka puasa dianjurkan pasangan suami isteri berstatus Datuk dan Datin, tetapi dalam sampul surat diisi cuma RM30 sebagai duit raya.

Kasihan pula melihat beberapa warga emas terpaksa menaiki bas ke kediaman tuan rumah. Sebagai orang tua mencecah 80 tahun ketika itu, ibu penulis ikhlas menerimanya walau RM30 tetapi secara lojik seperti menghina golongan warga emas dan ada udang di sebalik batu kerana menjemput orang tua ke majlis bukan ikhlas hanya semata-mata mencari nama.

Di sisi lain jika diamati program iftar begini majoriti penggiat seni yang hadir adalah kelompok pelakon, kalau pun ada mereka yang terbabit dalam bidang rakaman seperti penyanyi, penulis lirik dan komposer boleh dibilang dengan jari. Komitmen Seniman dalam banyak program kemasyarakatan begini, hinggakan fokus lebih terarah kepada ahli persatuan itu.

Biarpun Seniman terbuka pada pelbagai cabang anak seni untuk menganggotainya namun pelakon, seniman atau seniwati itu lebih sinonim dengan Seniman. Di sinilah pentingnya lebih selektif jika menganjurkan program membabitkan artis pelbagai kelompok seni boleh menghadirinya tanpa ada jurang status antara artis Gen X, Gen Y, Gen Z dan artis Baby Boom.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 6:26 AM