PERSIAPAN menjelang lebaran menuntut perbelanjaan tinggi.
PERSIAPAN menjelang lebaran menuntut perbelanjaan tinggi.
Ridzuan Abdul Rahman

Diam tak diam kita sudah hampiri pertengahan Ramadan dan tidak lama lagi meraikan Aidilfitri yang mulia.

Sudahkah anda buat persediaan lengkap untuk menyambut kedatangan hari kebesaran umat Islam yang datangnya setahun sekali ini?

Barang kali ada yang tidak sabar menanti ketibaan Aidilfitri atau mungkin ada juga yang seakan-akan tidak mempedulikan atau menghiraukannya.

Bukan kerana motif tertentu, tetapi sebaliknya kerana mereka terlalu lelah berdepan dengan pelbagai komitmen kewangan yang terlalu mencengkam.

Bayangkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah, kena membeli kelengkapan dan peralatan sekolah.

Jumlah yang perlu dikeluarkan bukan sedikit kerana semua ini bukan murah. Anggarannya sepasang pakaian sekolah pun mencecah RM100 seorang hingga ada ibu bapa terpaksa bergolok bergadai.

Kemudian kita menyambut ketibaan Ramadan yang disusuli dengan Aidilfitri, sudah tentu ada yang tidak mampu menarik nafas memikirkan di mana lagi ikhtiar untuk mencari wang.

Anak-anak pula kadangkala tidak memahami kesusahan ibu bapa dan hanya tahu demand pakaian berjenama mahal yang dipromosikan oleh artis idola mereka.

Mereka hanya rasa puas sekiranya dapat bergaya melaram dengan pakaian persis bintang pujaan mereka pada Aidilfitri. Harga jualan pakaian ini sangat keras kerana dikatakan dijual secara eksklusif.

Bercakap bab kewangan, bukan semua penggiat seni hidup mewah dan tidak mempunyai masalah langsung. Bukan saja untuk sambut Aidilfitri, malah untuk hidup seharian pun terkial-kial mencari rezeki.

Penulis sendiri sering mendengar keluhan golongan ini yang mengharapkan sekiranya ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk meringankan beban kewangan mereka.

Kita faham persatuan artis seperti Karyawan, Seniman dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) sering memainkan peranan membantu artis yang bernasib malang, tetapi keupayaan mereka juga terhad.

Mereka tiada sumber yang kukuh untuk berterusan memberi sumbangan. Karyawan dan Seniman, antara persatuan artis terbesar pun sebenarnya bergantung kepada dana yang diagihkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Itu belum dikira dana yang sama juga perlu diagih kepada persatuan lain yang memerlukannya. Semuanya bergantung kepada Finas.

Bercakap bab bantuan juga, penulis terdengar soseh-soseh dari segelintir penggiat seni yang mempertikaikan asyik-asyik artis yang sama saja diberi sumbangan sedangkan bilangan mereka yang bernasib malang boleh dikatakan agak ramai.

Sudahlah dapat bantuan dari Seniman, Karyawan dan YKAT, malah kadangkala penyumbang individu luar industri pun berikan sumbangan kepada orang yang sama.

Sebenarnya ia bukan salah artis terbabit, tetapi kerana tiada persepakatan antara semua persatuan ini dalam pembahagian bantuan.

Katalah jika Seniman sudah beri kepada artis A, Karyawan dan penyumbang lain boleh berikan kepada artis berbeza pula.

Bagaimanapun, kita tidak dapat menghalang sekiranya penyumbang individu ingin memberikan kepada artis pilihan kerana itu hak mereka. Mungkin mereka ada kriteria sendiri dalam pemilihan yang dibuat terutama aspek publisiti.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 6:30 AM