LATIF menerima sumbangan daripada Najib.
LATIF menerima sumbangan daripada Najib.
Adam Salleh

Ada yang berkerusi roda, bertongkat, tidak terkecuali terpaksa dipapah, bukanlah aksi dalam filem atau drama hakikatnya realiti depan mata. Sekian lama menyepi, seniwati Norzie Nani dari Batu Pahat, samalah halnya dengan seniman Latiff Borgiba serta pasangan Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar, semua mereka kini tidak segagah dulu terpaksa berkerusi roda namun tidak mengekang hasrat untuk menghadiri majlis Berbuka Puasa Penggiat Seni Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Suasana sendu dalam kegembiraan menyelubungi sanubari mereka kerana selain mendapat layanan istimewa daripada pemimpin nombor satu negara, inilah julung kali penggiat seni terdiri daripada sasterawan, budayawan, karyawan, seniman, kartunis, pemuzik, pereka fesyen, novelis, personaliti televisyen dan penyiar dihimpunkan dalam majlis bersejarah di bulan mulia ini.

Majlis anjuran Yayasan Perdana Ummah dengan kerjasama Pejabat Penasihat YAB Perdana Menteri dan Team Salute Malaysia itu membawa makna besar kepada 2,000 penggiat seni yang melihat masa depan mereka bakal terbela. Harus diingat jasa dan bakti penggiat seni amat besar sejak sebelum merdeka kerana mereka juga antara kelompok pejuang kemerdekaan.

Umpamanya sasterawan berjuang melalui pena sastera mereka dan sukar kita menidakkan perjuangan tokoh seperti Tan Sri Samad Ismail (Bapa Kewartawanan), Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), Datuk Shanon Ahmad, Datuk Usman Awang (Tongkat Waren), Datuk Ahmad Boestaman, Datuk A Samad Said dan sekalipun ramai di antara mereka sudah menghadap Sang Pencipta, namun roh perjuangan tetap diteruskan oleh generasi hari ini yang tanpa disedari memberi input dan pendidikan jasmani dalam menjana pemikiran masyarakat.

Tidak terkecuali budayawan dan pemain bangsawan yang menjadikan pentas bangsawan sebagai gelanggang perjuangan walaupun ketika itu ramai di kalangan mereka buta huruf. Seniman yang terdiri daripada pelakon dan penyanyi pula menyertai pentas bergerak ke merata pelosok tanah air menyampai matlamat kerajaan demi kesahjeteraan rakyat.

Menyedari peranan dan pengorbanan penggiat seni daripada pelbagai cabang diadakan majlis yang julung kalinya diadakan pada Ahad lalu dalam suasana harmoni dan kekeluargaan nyata amat menyentuh perasaan semua penggiat seni. Apakan tidak majlis tanpa protokol, tanpa orang politik, tanpa pegawai kerajaan dan barisan menteri Kabinet.

Hanya penggiat seni saja yang menjadikan himpunan majlis keluarga besar seperti rumah terbuka hari raya. Malah, dari bisik-bisik mereka merasakan pemimpin nombor satu bersama isteri ibarat bapa dan ibu kepada seluruh warga seni dan budaya. Ini dapat dirasakan seluruh hadirin di suasana malam itu yang tergambar pada wajah setiap tetamu itu.

Jaminan Perdana Menteri bahawa warga seni akan menerima kuota di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) seperti mana diperoleh kakitangan awam sesuatu yang dinanti oleh penggiat seni. Namun, ketelusan dalam pengagihan amat dituntut kerana sebagaimana kita maklum ada berpuluh persatuan seni di tanah air, pastinya setiap presiden akan memperjuangkan hak ahli-ahli masing-masing untuk mendapat kuota dijanjikan itu bagi membuktikan kewibawaan masing-masing.

Agak mengejutkan penulis apabila dimaklum seorang presiden persatuan, bukan seorang dua artis tidak mempunyai rumah bahkan berlambak termasuk nama besar. Namun kalangan artis juga harus faham, janji Perdana Menteri tidak dijurus pada satu kelompok semata-mata kerana penggiat seni itu bercabang-cabang nanti apa pula kata penulis, kartunis atau penyiar?

Keutamaan lebih molek diberi kepada penggiat seni yang hidup sejak di zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang masih tidak mempunyai kediaman tetap. Bagi pegiat seni yang hidup di zaman Tunku ada yang beranggapan Najib mempunyai ciri kepemimpinan Almarhum Tun Abdul Razak yang turun ke bawah mahu tahu kesusahan rakyat.

Malah realisasi Abdul Razak berjaya dalam membasmi rakyat buta huruf dan memberi peluang pendidikan pada anak kampung yang meletakan anak kampung di semua sektor kerajaan. Hubungan Abdul Razak dengan sasterawan diketahui amat erat. Ramai tidak menyedari lima wartawan masih muda ketika itu diberi gelaran ‘Pak’ oleh Abdul Razak sebagai mengenang jasa dan dianggap wartawan berkaliber antaranya Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Pak Samad Ismail, Pak Melan Abdullah, Pak Osman Abadi dan Pak Harun Hasan.

Sebagaimana meriahnya kegiatan sasterawan melalui buku sastera bemutu tinggi yang meletakan Dewan Bahasa dan Pustaka institusi penting sebagai gedung ilmu, begitulah juga kegiatan seni teater dan puisi yang ada dunia tersendiri. Kini ketiga-tiga bidang penting yang boleh memupuk nilai murni semakin terpinggir. Yang pasti sama ada mereka itu seniman atau seniwati, penggiat seni tanah air beruntung kerana adanya pihak memberi perhatian untuk mengubah nasib mereka.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 8:01 AM