PENJAGAAN serangga daun memerlukan ilmu dan komitmen yang tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENJAGAAN serangga daun memerlukan ilmu dan komitmen yang tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nurul Husna Mahmud


Di dalam rancangan dokumentari yang dipaparkan di kaca televisyen, kita biasa melihat serangga dari spesies Crytophyllium Westwoodii yang menyerupai daun yang bersembunyi di sebalik daun-daun pokok.

Lebih dikenali sebagai serangga daun, ia yang boleh ditemui di hutan Thailand, Laos dan Myanmar mampu membesar sehingga 6.5 sentimeter (cm) sehingga sembilan cm. Berat serangga daun ini selalunya tidak melebihi 100 gram.

Serangga daun jantan boleh terbang berbanding yang betina.

Kebanyakan serangga daun betina boleh hidup sehingga dua tahun, manakala jantan hanya boleh hidup sehingga setahun sahaja.

Menariknya, terdapat peminat serangga yang menjadikan serangga daun ini sebagai haiwan peliharaan.

ZALHASRAH bersama suaminya berkongsi minat yang sama.FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZALHASRAH bersama suaminya berkongsi minat yang sama.FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pembantu makmal, Zalhasrah Ahmad, 30, dan suaminya, pensyarah Dr Goh Soon Heng, 34, memelihara 30 serangga daun sejak 2019 di Makmal pengajar haiwan eksotik (EXOTEL) di Fakulti perubatan veterinar, Universiti Malaysia Kelantan.

Zalhasrah berkata, serangga daun ini mempunyai kelebihan untuk berselindung dengan persekitarannya sehingga ia sukar dilihat dengan jelas.

"Bukan itu sahaja, kebanyakan serangga ini boleh berubah warna mengikutkan persekitaran.

"Di luar negara terutamanya di Eropah, serangga daun sangat terkenal dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana keunikan bentuknya selain sangat jinak dan tidak agresif," katanya.

Menurutnya, serangga ini dipelihara sebagai usaha konservasi untuk menarik perhatian orang awam terutama pelajar bagi mempelajari berkenaan serangga.

KELEBIHAN serangga daun ini adalah berselindung dengan persekitarannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KELEBIHAN serangga daun ini adalah berselindung dengan persekitarannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Pada masa sama, mereka boleh dididik untuk lebih menghargai fauna yang berada di persekitaran kita. Saya suka berkongsi dengan orang awam berkenaan perkembangan serangga ini kerana ramai yang tidak tahu keunikan serangga daun ini yang boleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

"Jika masuk ke dalam hutan, belum tentu dapat temui serangga ini dengan mudah. Saya seronok dapat lihat dengan lebih dekat proses ia membesar dari menetas telur yang menjadi momen paling bahagia," katanya.

SENTIASA pastikan telur dalam keadaan baik.FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SENTIASA pastikan telur dalam keadaan baik.FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Berkongsi rutin penjagaan, setiap hari dia akan pastikan kelembapan yang bersesuaian supaya telur serangga itu sentiasa dalam keadaan baik.

"Selalunya untuk menjaga kelembapan dalam sangkar serangga, saya selalu sembur air dalam sangkar tiga hari sekali. Sekiranya ada telur yang sudah menetas, saya akan bawa anak ke dalam sangkar khas," katanya.

Tambahnya, serangga ini hanya makan daun namun bukan semua jenis daun boleh dimakan.

"Kebanyakannya di kurungan, haiwan ini makan daun mangga dan daun jambu. Daun perlu ditukar baru sekurang-kurangnya seminggu sekali.

"Daun yang digunakan perlu dipastikan bebas dari racun serangga yang boleh mengakibatkan serangga daun mati," katanya.

Katanya, pada masa sama, sangkar hendaklah dikemaskan sebulan sekali untuk mencegah bakteria yang oleh menyebabkan ketidakselesaan serangga.

"Ia juga memerlukan kelembapan yang sederhana antara 70 peratus hingga 80 peratus untuk memudahkan serangga ini menyalin kulit dan ia akan lebih selesa jika dibela di dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa," katanya.

Mengulas lanjut, serangga ini akan menjalani proses menyalin kulit sehingga dewasa.

"Jadi, ia tidak boleh diganggu untuk mengelak tertekan dan terganggu ketika proses penyalinan kulit.

SERANGGA daun memerlukan kelembapan yang sederhana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SERANGGA daun memerlukan kelembapan yang sederhana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Fasiliti untuk menjaga serangga daun juga hendaklah berfungsi dengan baik terutamanya pendingin hawa bagi mengelak ia tertekan berada di dalam ruangan yang terlalu panas," katanya.

Jelasnya, sejujurnya di negara ini tidak ramai yang memelihara serangga ini kerana ia menuntut ilmu, kesabaran, usaha dan komitmen yang tinggi.

"Nasihat saya kepada mereka yang berminat dengan serangga ini, anda perlu kenal pasti jenis dan keperluan serangga kerana setiap spesies mempunyai keperluan yang tidak sama.

"Menangkap serangga dari hutan tanpa ilmu adalah tidak digalakkan kerana ia boleh mengganggu ekosistem," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, dia dan suami berhasrat menubuhkan satu hub yang mempunyai pelbagai jenis serangga hidup dari Malaysia dan luar negara.

"Kami ingin jadikan hub ini untuk penyelidik yang ingin tahu mengenai serangga hidup sama ada di kurungan dan di habitat asal.

"Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai impian untuk membuat penyelidikan populasi mengenai serangga ranting yang ada di Malaysia dan menjaga serangga ranting yang hampir pupus dan kembalikan mereka ke habitat asal mereka jika perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 7:01 AM