Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kegiatan penyeludupan telur khususnya dari Kelantan ke Thailand menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan telur di dalam negara.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata, penyeludupan itu berlaku disebabkan harga telur di Thailand sememangnya lebih mahal berbanding di negara ini.

Katanya, kegiatan penyeludupan telur yang berlaku mengakibatkan negara mengalami masalah kekurangan bekalan telur lebih 100,000 biji sebulan sekali gus mengambil masa lama untuk dipulihkan.

"Dalam hal ini, kami sebagai jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi merayu kepada peladang untuk menambahkan pengeluaran telur dan pada masa sama mengharapkan peniaga tidak menjual telur ke negara jiran.

"Sekali lagi saya memohon kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan supaya dapat memberikan kerjasama kepada jawatankuasa ini bagi menangani masalah kekurangan bekalan telur di dalam negara.

"Kita tahu ada keuntungan yang baik, tetapi kita harap mereka faham bahawa kerajaan sudah menambah RM20 juta sebulan untuk pulihkan bekalan tetapi impak daripada itu tidak dapat dilihat sampai sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada penerima mangsa ribut di KampungTegayong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, semakan juga mendapati punca bekalan telur di dalam negara tidak dapat ditambah dengan segera disebabkan ayam telur yang tidak lagi produktif disembelih lebih awal sedangkan ayam itu masih boleh mengeluarkan telur.

"Ini sekali gus menyebabkan proses ayam gantian untuk bekalan telur lambat.

"Ini kerana ia mengambil masa empat bulan untuk menghasilkan telur dan jangkaan pulih mungkin pada bulan Disember ini," katanya.

ANNUAR (dua kiri) bersama calon BN Marzuani Ardila Ariffin (kiri) memyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Tegayong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
ANNUAR (dua kiri) bersama calon BN Marzuani Ardila Ariffin (kiri) memyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Tegayong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:30 PM