NORHALIZAH bersama Cleo yang pernah hilang selama 24 jam.
NORHALIZAH bersama Cleo yang pernah hilang selama 24 jam.
Hafiz Ithnin


"HILANG kucing lebih menyakitkan daripada putus cinta!," kata wanita berusia 29 tahun itu kepada penulis tatkala bercerita mengenai kucing kesayangannya yang pernah hilang dalam tempoh 24 jam.

Begitu perasaan si pemilik haiwan kesayangan apabila kucing peliharaannya tiada di depan mata. Apatah lagi, kucing itu dianggap sebagai keluarga sendiri.

Bagi Norhalizah Hamzah, dia mempunyai dua kucing betina dari baka British Long Hair campuran Persian yang dimilikinya sejak Mei tahun lalu.

Katanya, dia dan keluarganya mempunyai banyak kucing pelihaaran di rumah masing-masing termasuk dirinya.

"Saya mempunyai dua kucing betina yang diberikan oleh kawan. Ketika itu, usia kucing berkenaan sekitar tiga bulan.

"Saya berikan nama masing-masing Cleo dan Zoey. Kedua-duanya adalah kucing yang dipelihara sepenuhnya dalam rumah.

"Namun, pernah sekali baru-baru ini Cleo keluar rumah dan tersesat. Dalam tempoh 24 jam dia menghilangkan diri. Ketika itu, saya menangis kerana kehilangannya. Mujur ia kembali semula ke rumah. Jika tidak, pasti sedih kehilangan salah satu kucing kesayangan saya," katanya.

Norhalizah berkata, dia menganggap kucing kesayangannya sebagai sahabat terbaik kerana kucing dilihat sebagai terapi emosi.

"Kucing ini mempunyai gelagat tersendiri. Nakal dan apabila saya sedih ia seakan-akan mengetahui emosi saya.

"Tidak keterlaluan untuk saya katakan, saya kadangkala bercakap dengan haiwan ini untuk meluahkan rasa tertekan atau sedih. Kucing ini juga seolah-olah memahami emosi saya ketika itu," katanya.

KUCING Norhalizah mempunyai permainan di rumah.
KUCING Norhalizah mempunyai permainan di rumah.

Dari segi penjagaan katanya, menjaga haiwan kesayangan pastinya memerlukan tanggungjawab bagi memastikan ia hidup dalam keadaan selesa dan sihat.

"Saya juga sudah melatih kucing saya membuang najis dalam bekas yang sudah disediakan. Ternyata kucing saya ini sudah pandai ke tempat khas itu sejak kecil.

"Selain itu, saya juga perlu pastikan bekas najis tidak penuh kerana kucing saya boleh dikatakan sedikit 'penggeli' dengan persekitaran kotor. Jadi, apabila pulang kerja dan menjadi rutin setiap hari bekas najis perlu dibersihkan dengan kerap," katanya.

Katanya, kerja membersihkan bekas najis juga tidak sukar kerana ketika ini sudah ada bekas yang bercirikan automatik mengasingkan pasir atau tofu dengan najis haiwan berkenaan.

"Selain itu, saya juga sensitif kepada bau yang kurang menyenangkan dalam rumah. Jadi, saya sentiasa memastikan kucing saya diuruskan dengan baik.

"Setakat ini apabila rakan-rakan berkunjung ke rumah, mereka berasakan rumah saya seperti tiada haiwan peliharaan kerana tidak berbau. Pada saya perkara lebih penting ialah memilih jenis pasir yang mampu menyerap bau dengan baik," katanya.

Tambahnya, haiwan kesayangannya juga diberikan makanan premium bagi memastikan kedua-dua kucing berkenaan mendapat diet yang sesuai.

NORHALIZAH memiliki kedua-dua kucing ini sejak Mei tahun lalu.
NORHALIZAH memiliki kedua-dua kucing ini sejak Mei tahun lalu.

"Bagi saya pemakanan antara perkara yang tidak boleh diambil ringan pemilik kucing kerana makanan yang baik mampu menjamin kesihatan kucing.

"Selain itu, saya juga membawa kucing kesayangan ini ke klinik veterinar secara berkala untuk memastikan ia

dalam keadaan sihat kerana kucing ini kita kadangkala tidak mengetahui jika mereka mempunyai masalah kesihatan," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 6:11 AM