OZIL kucing pertama yang menjadi haiwan perliharaan pertama keluarga ini.
OZIL kucing pertama yang menjadi haiwan perliharaan pertama keluarga ini.
Hafiz Ithnin

"Awalnya saya dan keluarga memang tidak begitu gemar mempunyai haiwan peliharaan. Apatah lagi kucing kerana stigma haiwan itu boleh menyebabkan rumah berbau busuk.

"Walaupun adik bongsu dahulunya pernah menyatakan hasrat kepada ibu untuk memelihara kucing di rumah, tetapi tidak dibenarkan kerana khuatir sukar untuk dijaga kami sekeluarga.

"Benarlah bak kata pepatah tidak kenal maka tak cinta, akhirnya pada 2021 keluarganya terbuka untuk memelihara seekor kucing betina campuran baka tempatan dan British Short Hair.

"Segala stigma dan persepsi itu berubah sama sekali," kata Nur Fatihah Tanzizi.

Apatah lagi melihat gelagat anak si bulus itu yang mempunyai karakter tersendiri menyebabkan keluarga gadis berusia 23 tahun ini kini bukan sahaja mempunyai seekor, malah tiga ekor kucing peliharaan di rumah mereka.

PELBAGAI baka kucing dimiliki Isniah.
PELBAGAI baka kucing dimiliki Isniah.

Fatihah berkata, pada mulanya ketika mendapat kucing pertama diberi nama Ozil hasil pemberian ahli keluarga terdekat mereka agak khuatir mengenai cara penjagaan haiwan berkenaan.

"Memandangkan kami sekeluarga tidak pernah ada haiwan kesayangan di rumah jadi ilmu menjaganya juga tidak ada. Justeru, saya banyak dapatkan maklumat tambahan di media sosial dan juga ketika menghantar kucing ke klinik bagi mendapatkan vaksinasi, doktor akan memberi penjelasan cara penjagaan kucing yang betul.

"Bermula dengan membela Ozil, pada tahun yang sama kami mengambil dua lagi kucing betina iaitu Olaf dan Benji kerana kasihan kepada Ozil tiada 'kawan' di rumah untuk bermain," katanya.

Fatihah berkata, sejak keluarganya memiliki haiwan kesayangan itu, mereka menjaganya seperti anak sendiri dan tidak pernah berkira untuk berbelanja dari segi membeli makan, barangan keperluan kebersihan haiwan dan sentiasa menghantar ke pusat dandanan kucing.

"Apabila sudah mempunyai kucing ini, saya mula mencari maklumat mengenainya. Perkara paling penting ialah kucing ini perlu diberiperhatian kerana jika tertekan ia akan sakit dan boleh menyebabkan kematian.

"Jadi saya dan keluarga tidak mahu perkara itu berlaku kerana apabila sudah membuat keputusan untuk memelihara kucing, kita perlu menjaganya sebaik mungkin," katanya.

MAKANAN perkara yang paling utama untuk menjaga kesihatan kucing.
MAKANAN perkara yang paling utama untuk menjaga kesihatan kucing.

Katanya, ketiga-tiga kucing milik mereka sekeluarga adalah haiwan yang sentiasa berada di dalam rumah kerana mereka khuatir jika dibiar berkeliaran boleh menyebabkan kemalangan atau mendapat penyakit berjangkit daripada haiwan lain.

"Walaupun kucing kami bukan kucing mahal, tetapi apabila kita sudah menjaganya seperti ahli keluarga sendiri, sudah tentu akan risau mengenai keselamatan dan kesihatan ketiga-tiga kucing peliharaan ini.

"Kami pastikan kucing ini dapat makanan terbaik terutama dengan memberi makanan premium yang sudah tentu boleh memberi kesan baik kepada kesihatan kucing dan mengurangkan bulu gugur," katanya.

Katanya, sejak memiliki kucing di rumah mereka seratus peratus menyangkal stigma mengenai haiwan itu menyebabkan kediaman berbau busuk kerana perkara paling penting adalah cara pengurusan.

"Bagi mengelakkan rumah berbau sudah tentu perkara paling utama ialah pengurusan najis kucing itu sendiri. Kami menggunakan pasir yang mampu menyerap bau dan meletakknya di kawasan terbuka.

"Selain itu, perlu rajin untuk membuang najis di dalam bekas berkenaan. Disebabkan itu apabila kita sudah setuju untuk mempunyai haiwan peliharaan, maka perlu mempunyai komitmen bagi menjaga dan menguruskannya supaya haiwan itu selesa dan kita juga tidak merasa tertekan," katanya.

Katanya, sejak memiliki anak bulus itu, situasi di dalam rumah menjadi begitu ceria kerana tingkah laku kucing peliharaan yang nakal dan sentiasa mencuri hati mereka sekeluarga.

"Sebenarnya, kucing-kucing kami ini bukanlah jenis seperti kucing lain yang mempunyai tingkah laku suka bermanja kerana saya boleh katakan mereka ini sombong dan suka membuat hal sendiri.

"Jadi, kamilah sebenarnya yang suka mengusik Ozil, Olaf dan Benji kerana inginkan mereka memberi perhatian kepada kami berbanding kucing lain yang mungkin inginkan perhatian daripada si pemilik," katanya tertawa kecil menceritakan sikap kucing-kucingnya.

FATIHAH (kanan) dan ibunya menjaga kucing perliharaan mereka seperti ahli keluarga sendiri.
FATIHAH (kanan) dan ibunya menjaga kucing perliharaan mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Bercerita mengenai perbelanjaan menjaga kucing, katanya, sebulan mereka mungkin berbelanja sekitar RM600 untuk ketiga-tiga kucing berkenaan untuk membeli makanan, pasir najis dan juga membawa ke pusat dandanan kucing.

"Bagi saya apabila kita tidak berkira dengan haiwan, ia akan membawa rezeki kepada kita. Jadi, saya dan keluarga tidak pernah berkira untuk memberikan yang terbaik kepada ketiga-tiga kucing ini supaya mereka hidup dalam keadaan selesa dan sihat.

"Perkara yang paling dikhuatiri pastinya jika mereka sakit boleh menyebabkan pemilik mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk menampung kos rawatan. Jadi, bagi kami berilah makanan yang terbaik dan keselesaan kepada mereka untuk sentiasa sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 9:19 AM