‘CAT sitter’ miliki kredibiliti, sifat amanah yang tinggi selain rasa kasih kepada kucing.
‘CAT sitter’ miliki kredibiliti, sifat amanah yang tinggi selain rasa kasih kepada kucing.
Muhamaad Razis Ismail


Meninggalkan haiwan peliharaan untuk satu tempoh yang lama sama ada bercuti, memenuhi tuntutan kerja atau kecemasan antara dilema yang sering dihadapi setiap pemilik kucing terutamanya.

Biarpun mempunyai pilihan untuk menempatkan kucing di 'hotel', bukan semua pemilik haiwan mampu berbuat demikian berikutan kos tinggi selain jauh dan sentiasa penuh.

Keadaan menjadi lebih sukar bagi mereka yang memiliki kucing yang banyak sehingga ada dalam kalangan pemilik haiwan terpaksa mengambil risiko meninggalkan kucing kesayangan di rumah.

Sudah pasti, situasi ini menyebabkan pemilik haiwan tidak senang duduk memikirkan keselamatan dan kesihatan si bulus sepanjang berada di 'luar kawasan'.

Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa ada perkhidmatan penjagaan kucing di rumah sebagai alternatif menyelesaikan masalah yang dihadapi pemilik si bulus.

Penjaga kucing atau lebih dikenali sebagai 'cat sitter' bertanggungjawab membersihkan sangkar dan najis, memberi makan serta minum selain memastikan kesihatan haiwan itu di rumah.

Menurut Penjaga Kucing Profesional, Farrah Ana Jamaludin, 39, ramai dalam kalangan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan penjaga kucing atas sebab bercuti, kecemasan dan kesibukan kerja.

"Jika ditinggalkan sendirian, makanan akan masuk angin yang boleh menyebabkan kucing muntah. Pada masa sama rumah berisiko diserang haiwan perosak seperti semut, lipas dan tikus.

"Dengan menggunakan khidmat ini, individu yang berpengalaman mengendali si bulus boleh menjaga keperluan haiwan peliharaan di rumah," katanya.

Menurutnya, biasanya penjaga kucing melakukan lawatan ke rumah sekurang-kurangnya sehari sekali untuk memantau dan memaklumkan perkembangan kucing kepada pemilik.

PERSEKITARAN kucing perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik.
PERSEKITARAN kucing perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik.

PENJAGAAN kucing lebih terjamin di bawah kendalian penjaga kucing.
PENJAGAAN kucing lebih terjamin di bawah kendalian penjaga kucing.

PEKERJAAN ini memerlukan kesabaran, jujur dan rasa kasih kepada kucing.
PEKERJAAN ini memerlukan kesabaran, jujur dan rasa kasih kepada kucing.

"Selain itu, penjaga kucing bertanggungjawab membersihkan bekas najis, menyediakan makan dan minuman, membersihkan ruang rehat serta bermain dengan kucing. Ada juga pemilik kucing menugaskan penjaga kucing memberi ubat kepada kucing yang sedang sakit.

"Walaupun nampak senang, pekerjaan ini memerlukan kesabaran, jujur dan rasa kasih kepada kucing. Setiap tugasan mesti dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas kerana haiwan itu juga makhluk ciptaan Tuhan yang mempunyai perasaan," katanya.

Pemilik Farrah Cat Sitter Kuantan itu berkata, setiap hari, sebelum janji temu menjaga kucing, dia membuat persediaan daripada segi peralatan mengemas, mencuci dan nyahkuman.

"Dalam menyediakan perkhidmatan, saya amat menitikberatkan kualiti kerja supaya pelanggan berpuas hati. Kucing yang diamanahkan dijaga seperti kucing sendiri.

"Tapi, ada kalanya ia tidak berjalan seperti yang dirancang kerana ada ketikanya kucing kurang sihat. Apabila keadaan ini berlaku, saya akan maklumkan kepada pemilik dan jika perlu, saya akan bawa kucing ke klinik untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Dia berkata, penjaga kucing perlu memiliki kredibiliti dan sifat amanah yang tinggi kerana kepercayaan yang sepenuhnya diberikan untuk menjaga haiwan di rumah pemilik haiwan itu.

"Saya melakukan pekerjaan dengan profesional. Untuk meyakinkan pelanggan, saya lampirkan salinan kad pengenalan berpalang dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Ketika melakukan kerja, saya hanya fokus menguruskan kucing dan pastikan rumah dikunci semula setiap kali selesai sesi," katanya.

Katanya, pekerjaan ini perlu ada dalam masyarakat masa kini kerana trend memiliki haiwan kesayangan sebagai peneman semakin berkembang.

"Saya lihat penawaran khidmat menjaga haiwan peliharaan di rumah disambut baik pemilik si bulus supaya kucing mereka terjaga dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:44 AM