Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

 

Kuala Lumpur: ASUS mengumumkan barisan baharu Vivobook Pro OLED dan siri Vivobook 15 OLED yang menawarkan prestasi lebih baik termasuk padanan spesifikasi terkini.

  Ia sesuai untuk semua lapisan pengguna terutamanya bagi individu yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyedia kandungan sekali gus memerlukan peranti yang berkeupayaan untuk melaksanakan segenap tugas dengan baik.

  Menerusi ASUS Vivobook Pro 14X OLED, ia menawarkan kuasa pemproses Intel Core i5 Generasi Ke-11  bersama-sama padanan unit pemproses grafik (GPU) sehingga Nvidia GeForce RTX 3050.

  Peranti itu juga menggunakan tetapan memori (RAM) 16GB dengan dua kipas sistem penyejuk hasil teknologi ASUS IceCool.

  Skrin paparan pula menggunakan tetapan 14 inci 2.8K OLED HDR 600 nit  bersama sudut pandang lebar 100 peratus DCI-P3.

  Untuk penyedia kandungan, skim warna yang persis dengan realiti adalah sangat penting dan laptop ini mempunyai skrin pengiktirafan PANTONE bersama-sama TUV Rheinland bagi penjagaan mata.

  Pengguna juga boleh memilih variasi Vivobook Pro 15 OLED yang dipadankan dengan cip pemproses berkuasa AMD daripada siri Ryzen 9 5900X.

  Untuk padanan spesifikasi lain adalah hampir sama dengan variasi lain namun laptop ini adalah kelas premium untuk siri berkenaan.

  Tanda harga bagi ASUS Vivobook Pro 14X OLED adalah RM4,799 manakala untuk Vivobook Pro 15 OLED didatangkan dengan tiga variasi dan harga bermula RM4,299 sehingga RM5,199 mengikut spesifikasi.

  

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 9:27 PM