Muhammad Saufi Hassan

Asus Malaysia memperkenalkan dua generasi laptop baharu keluarannya dalam kelas produktiviti iaitu Asus Vivobook 15X Series dan Vivobook Go 15.

Menerusi Vivobook 15X Series, ia menampilkan dua variasi cip pemproses iaitu Intel Core Generasi Ke-13 dan AMD Ryzen 7 berdasarkan pemilihan pengguna.

Bagi aspek spesifikasi untuk laptop berkenaan, Vivobook 15X Series menggunakan tetapan cip pemproses Intel Core i5-1335U atau AMD Ryzen 7 7730U bersama padanan memori (RAM) DDR4.

Ia direka khusus untuk produktiviti dengan rekaan yang elegan di samping sokongan naiktaraf RAM.

Ia turut dilengkapi dengan dua sambungan USB3.2 Gen1 Type A, satu USB 3.2 Gen 1 Type-C dan satu USB 2.0 Type-A yang boleh dipadankan dengan mana-mana perkakas.

Laptop ini juga melepasi penarafan MIL-STD-810H ujian ketahanan sekali gus menjadikan ia bukan saja satu peranti elegan malah tahan lasak dengan pelbagai keadaan.

Bagi laptop Vivobook Go 15 pula, ia menggunakan cip pemproses AMD Ryzen 5 7520U bersama sokongan RAM sehingga 16GB LPDDR5 bersama sistem storan 512GB PCIe SSD.

Laptop ini menggunakan skrin bersaiz 15.6 inci dengan Definisi Penuh (FHD) panel paparan IPS bersama beberapa ciri khusus lain.

Kedua-dua laptop ini sememangnya direka untuk kegunaan produktiviti dan keupayaan bateri mampu bertahan sepanjang hari tanpa sebarang masalah.

Tanda harga untuk Asus Vivobook 15X Series bermula RM3,099 manakala untuk Vivobook GO 15 bermula RM2,299.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 5:55 PM