Muhammad Saufi Hassan

Peminat peranti berjenama Apple pastinya menantikan kemasukan secara rasmi produk ikonik mereka iaitu iPhone dan dua siri baharu peranti berkenaan dan pra tempahan boleh dibuat bermula esok.

Pra tempahan berkenaan membabitkan dua model iaitu iPhone 12 Pro Max dan iPhone 12 Mini boleh dibuat menerusi laman web rasmi, apple.com/my, wakil penjual yang sah serta penyedia rangkaian terpilih dan pengguna akan menerima peranti baharu itu bermula 13 November.

Ia juga adalah pelancaran pra tempahan serentak di seluruh dunia membabitkan lebih 50 negara.

Bagi siri iPhone 12 Pro Max didatangkan dengan tiga variasi storan bermula daripada 128GB, 256GB dan 512GB dengan penawaran empat warna iaitu Graphite, Silver, Gold dan Pacific Blue manakala tanda harga bermula RM5,299.

Untuk siri iPhone 12 Mini pula didatangkan dengan storan 64GB, 128GB dan 256GB bersama penawaran warna hitam, putih, biru, hijau dan 'Product Red' dengan tanda harga bermula RM3,399.

Pengguna yang mahu melakukan pra tempahan kepada aksesori tambahan seperti 'MagSafe' juga boleh berbuat demikian menerusi laman web berkenaan atau menggunakan aplikasi 'Apple Store' menerusi peranti sedia ada.

Bulan lalu, Apple melancarkan produk ikonik paling dinantikan iaitu iPhone 12 menerusi empat variasi dan turut mengekalkan tetapan tiga lensa.

Rekaan fizikal untuk iPhone 12 menggunakan kembali reka bentuk iPhone 4 atau iphone 5 yang lebih geometrik.

Peranti generasi baru itu diperkenalkan sempena majlis maya 'Hi,Speed' yang turut menampilkan keupayaan jaringan 5G untuk peranti keluaran syarikat berkenaan.

Empat variasi iPhone berkenaan adalah iPhone 12 Mini, iPhone 12, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max dan membezakan model baharu ini adalah pengenalan kepada versi 'mini'.

Semua versi iPhone berkenaan dikuasakan dengan pemproses binaan 5nm pertama di dunia iaitu Apple A14 Bionic yang menawarkan kuasa prestasi lebih baik di samping keupayaan pemprosesan lebih pantas berbanding generasi terdahulu.

Menyentuh aspek spesifikasi Apple iPhone 12 Pro dan versi 'Max', ia menggunakan tetapan tiga lensa yang dinaik taraf termasuk keupayaan berbanding generasi sebelum ini.

Dua versi peranti berkenaan menggunakan skrin OLED Super Retina XDR serta kefungsian sistem kamera baharu.

Sistem kamera untuk peranti iPhone 12 Pro dan 12 Pro Max ini kini mempunyai sensor LiDAR bagi membantu optimasi kualiti gambar dan video sekali gus menghasilkan kualiti lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 10:51 PM