ASUS ROG Glacier Blue yang kelihatan premium dan memberi keselesaan kepada pengguna.
ASUS ROG Glacier Blue yang kelihatan premium dan memberi keselesaan kepada pengguna.
Muhammad Saufi Hassan


JENAMA terkemuka dalam segmen sukan elektronik, ASUS menerusi jenama Republic of Gamers (ROG) mengumumkan produk baru mereka iaitu ROG Glacier Blue.

Model itu akan tampil dengan empat barisan produk iaitu ASUS ROG Zephyrus S GX502, Zephyrus M GU502 dan generasi Strix G G531 serta G731.

Keluaran terbaru ASUS ROG itu dapat dikesan menerusi ‘penjenamaan semula’ yang memberi fokus kepada rupa bentuk peranti termasuk pengalaman pemain yang menggunakan laptop berkenaan.

Secara asasnya, wujud perbezaan yang sesuai digunakan pada tahap tertentu supaya pengalaman semasa bermain bertambah baik dan mengurangkan beberapa kelemahan yang wujud pada laptop keluarannya sebelum ini.

Menerusi Model siri S, ASUS ROG menawarkan pengalaman premium sesuai digunakan untuk kelihatan profesional manakala kelas siri M direka bagi mereka yang mahu kelihatan bijak menerusi kemasan akhir produk berkenaan.

Bagi siri G kali ini memfokuskan tambah baik kemampuan keperluan asas bagi menarik lebih ramai pemain ke dalam ROG.

Pengalaman rupa dan rasa yang cuba ditonjolkan pada keluaran komputer riba berkuasa tinggi ini apabila pengguna mampu merasai reka bentuk yang memberi perasaan sejuk dan selesa kepada pengguna pada pandangan pertama.

ASUS ROG juga menggunakan Sistem Inovatif Aktif Aerodinamik (IAAS) pada Zephyrus S dan ia merangkumi sistem aliran udara 3D Zon Pengudara pada siri baru Strix.

Seperti kebiasaannya, ASUS ROG masih mengekalkan ciri kerdipan lampu warna-warni untuk memberi nilai kosmetik tambahan kepada peranti berkenaan menerusi Aura Sync RGB.

Sementara itu, terdapat beberapa bahagian daripada casis yang dilindungi dengan dua balutan atau lapisan cat berwarna biru Glacier, permukaan Strix G diukir dengan campuran istimewa plastik biru yang tahan lasak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 8:49 AM